Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Faiz ingatkan Pemuda PAS: Fadzil Noor pernah bela Anwar
Diterbitkan:  Sep 23, 2024 10:29 PM
Dikemaskini: 2:29 PM

Anak bekas presiden PAS, Fadzil Noor mengingatkan sayap pemuda parti itu bahawa Allahyarham bapanya berdiri teguh dalam mempertahankan Anwar Ibrahim ketika perdana menteri itu menghadapi pertuduhan liwat suatu ketika dahulu.

Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil berkata, arwah bapanya juga selalu berkongsi cerita mengenai kezaliman terhadap Anwar di rumah dan hampir setiap malam ketika berceramah.

"Almarhum Fadzil Noor juga tidak pernah jemu mengunjungi Anwar Ibrahim ketika prosiding mahkamah berlangsung serta almarhum Fadzil Noor juga adalah pemimpin pertama pembangkang ketika itu hadir mempertahankan Anwar Ibrahim,” kata bekas Adun Permatang Pasir itu dalam kenyataan media.

Faiz mengulas gesaan Timbalan Ketua Pemuda PAS, Mohd Hafez Sabri agar Anwar memohon semakan terhadap kes liwat berkenaan.

Ia susulan ucapan Anwar pada Sabtu lalu sempena ulang tahun ke-25 gerakan Reformasi, di mana presiden PKR itu menyatakan dirinya sebagai “banduan terhormat” yang berdepan dengan “tuduhan yang zalim dan keji”.

Anwar dipenjarakan sebanyak dua kali atas tuduhan salah guna kuasa dan liwat, yang menurutnya direka oleh musuh politiknya.

Kes pertama adalah pada 1999 ketika pentadbiran Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri. Dia dibebaskan pada 2004 apabila Abdullah Ahmad Badawi menggantikan Mahathir.

Penubuhan Barisan Alternatif

Faiz mengingatkan Pemuda PAS bahawa bapanya pada 1999 telah membentuk gerakan bernama Gerak untuk menggerakkan sokongan rakyat bagi membela Anwar.

"Menubuhkan Gerak adalah langkah pertama almarhum Fadzil Noor menggerakkan gerakan rakyat membela Anwar Ibrahim yang kemudiannya menjadikan PAS mula diterima rakyat pelbagai lapisan sehingga menjadi parti politik yang kuat dan menang 27 kerusi parlimen dalam PRU 1999," katanya merujuk Barisan Alternatif yang disertai PKR, DAP, PAS dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).

"Adakah pemuda PAS bersedia menyangkal fakta sejarah ini?" soal Faiz hari ini.

Pada 2015, Anwar disabitkan sekali lagi atas tuduhan liwat ketika pentadbiran Najib Razak.

Faiz yang juga seorang peguam, mengingatkan Pemuda PAS bahawa Anwar telah dibebaskan dalam kes liwat pertama tanpa sebarang sabitan oleh Mahkamah Persekutuan.

Manakala bagi kes kedua, katanya, pengampunan penuh diraja telah diberikan yang menjadikan semua rekod sabitan kes kedua dibersihkan.

"Oleh itu, saranan Timbalan Ketua Pemuda PAS saudara Mohd Hafez Sobri bahawa Anwar Ibrahim perlu memohon semakan semula kes adalah tidak berasas dan menunjukkan pemuda PAS buta undang-undang.

"Ini adalah kerana tiada sabitan kes yang ada untuk disemak semula, sebaliknya yang perlu disemak adalah pemikiran pemimpin PAS yang tidak habis-habis mengungkit kisah lama yang tiada lagi rekod jenayah seolah-olah PAS ketandusan idea sebagai pembangkang,” tegasnya.

Guna fatwa demi politik

Faiz berkata ketika pemimpin lama PAS, termasuk presidennya Abdul Hadi Awang mempertahankan Anwar, pelbagai nas dan dalil dikemukakan bagi mengukuhkan hujah kezaliman tersebut.

"Namun, kini PAS seperti biasa mencari fatwa baru pula dengan mengubah fatwa lama. Itulah sikap PAS, yang mahir menggunakan fatwa demi keuntungan politik.

“PAS kini tidak lagi mempunyai prinsip sepertimana sikap pemimpin PAS terdahulu,” dakwa Faiz.

Dalam ucapannya semasa perhimpunan kira-kira 20,000 penyokong di Arena Axiata, Anwar menamakan Fadzil, bekas Musyidul Am PAS, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat, serta bekas imam besar Masjid Negara, Taib Azamudden Mohd Taib, sebagai antara mereka yang membelanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS