Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anggota tentera maut terkena tembakan pemburu di hutan Song
Diterbitkan:  Sep 23, 2024 9:28 PM
Dikemaskini: Sep 24, 2024 3:10 AM

Seorang anggota tentera maut akibat terkena tembakan dipercayai dilepaskan oleh orang awam yang sedang memburu binatang di kawasan hutan KM 8, Jalan Balak Multiplus, Song dekat Kapit, awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Song DSP Rowney Michael Jalak berkata Petrus Linggi Liman, 29, mengalami kecederaan parah pada bahagian paha dan punggung kiri.

Beliau berkata mangsa ketika itu sedang berada di atas buaian (hammock) sewaktu menyertai latihan taktikal pasak bumi di kawasan hutan berkenaan.

“Mangsa dikejarkan ke Hospital Kapit untuk mendapatkan rawatan namun telah disahkan meninggal dunia pada 7.43 pagi oleh pegawai perubatan hospital tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurutnya polis sebelum itu menerima panggilan mengenai kejadian pada kira-kira 2.45 pagi.

“Setakat ini suspek belum lagi dikenal pasti. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis sedang berusaha mengesan suspek.

"Bedah siasat ke atas mayat mangsa dijadualkan dilakukan esok di Hospital Kapit,” tambahnya.

Sementara itu Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam kenyataan mengesahkan lelaki yang maut setelah terkena tembakan itu adalah daripada formasi 9 Briged di Sibu dan sedang melaksanakan latihan di kawasan itu dari 21 hingga 29 Sept ini.

TDM memaklumkan anggota itu sedang melaksanakan latihan melibatkan kawasan am Kanowit–Nanga Dap–Song yang berkekuatan satu kompeni.

Sebelum kejadian, platun yang dianggotai mangsa sedang berehat telah terdengar bunyi motosikal melalui jalan tidak berturap (jalan balak) berdekatan lokasi mereka berlabuh pada 2.45 pagi.

"Secara tiba-tiba, kedengaran bunyi tembakan yang dipercayai datang dari arah motosikal berkenaan.

“Curiga dengan tembakan itu, pemeriksaan perimeter dilaksanakan serta-merta dan mendapati seorang anggota telah cedera akibat tembakan berkenaan," menurut kenyataan itu.

Anggota berkenaan telah diberi rawatan awal di lokasi kejadian sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Song pada 4 pagi dan dirujuk ke Hospital Kapit untuk rawatan lanjut pada kira-kira 5 pagi.

Bagaimanapun, anggota terbabit telah disahkan meninggal dunia pukul 7.43 pagi di Hospital Kapit akibat kecederaan yang dialami dan satu laporan polis telah dibuat berkenaan kejadian itu.

Menurut TDM, pengurusan jasad akan disempurnakan selepas proses bedah siasat selesai dan pihak waris mangsa yang berada di Sarikei telah dimaklumkan dan lokasi pengebumian akan dimaklumkan kemudian.

TDM turut menyampaikan ucapan takziah kepada waris dan ahli keluarga mangsa dan mendoakan semoga mereka diberikan kekuatan serta kesabaran dalam menghadapi ujian itu.

Masyarakat juga diingatkan agar tidak menularkan sebarang gambar atau maklumat berkenaan insiden terbabit bagi memberi ruang kepada siasatan yang sedang dijalankan, selain untuk menghormati waris dan ahli keluarga.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS