Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mendapan di Jalan Sultan Ismail sebab paip pecah bawah tanah - Bomba
Diterbitkan:  Sep 23, 2024 6:55 PM
Dikemaskini: 12:51 PM

Kejadian jalan raya mendap di Jalan Sultan Ismail di Kuala Lumpur yang tular di media sosial berpunca daripada paip bawah tanah yang pecah di kawasan itu awal pagi tadi.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Penguasa Bomba Kanan 1 Mohd Rozihafizam Othman berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.04 pagi sebelum mengerahkan 13 anggota serta pegawai ke lokasi kejadian.

“Setibanya pasukan bomba di tempat berkenaan mendapati terdapat kebocoran melibatkan paip bawah tanah milik pihak Air Selangor (Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd) hingga berlaku limpahan air dan jalan raya mendap di beberapa kawasan berhampiran paip tersebut.

“Kerja-kerja pembaikan paip yang bocor diserahkan kepada pihak Air Selangor untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan kerja baik pulih jalan tersebut sedang giat dijalankan pihak Air Selangor.

“Bagi kerja-kerja baik pulih jalan yang tidak rata akibat tekanan daripada air, ia akan bermula pada 8 malam ini dan dijangka siap sepenuhnya pada 5 pagi keesokan harinya,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu tular di laman sosial video berdurasi 10 saat memaparkan keadaan jalan mendap di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.

Sementara itu, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan turut mengesahkan kejadian berkenaan disebabkan oleh paip pecah dan bukan mendapan tanah seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Air Selangor memaklumkan kerja-kerja pembaikan telah selesai dijalankan pada 5 petang tadi dan penurapan jalan di kawasan terbabit sedang dijalankan dengan jangkaan selesai dalam tempoh 24 jam bergantung pada keadaan cuaca.

"Secara amnya, kejadian paip pecah boleh menyebabkan kerosakan jalan di sekitar kawasan terlibat kerana tekanan air yang tinggi dalam sistem paip," menurut kenyataan itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS