Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
153 akaun berkait GISBH dengan nilai lebih RM800,000 dibekukan
Diterbitkan:  Sep 23, 2024 6:44 PM
Dikemaskini: 10:44 AM

Sebanyak 153 akaun berkaitan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) telah dibekukan membabitkan wang berjumlah RM882,795.94 setakat ini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

Razarudin berkata selain itu, sebanyak 38 motokar pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM3.94 juta dan 14 lot hartanah yang nilainya masih dalam siasatan turut disita.

Tindakan pembekuan dilakukan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) dan penyitaan di bawah Seksyen 45(2) akta sama.

"Sebanyak 26 ekor haiwan terdiri daripada sembilan ekor kuda, 14 ekor arnab dan tiga ekor burung merak, serta wang tunai RM18,650 dan dua jam tangan bernilai RM600 juga dirampas," katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur hari ini.

Pada masa yang sama, Razarudin turut menafikan tanggapan negatif segelintir pihak yang mengatakan polis mengabaikan haiwan yang dirampas, sebaliknya Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta pihak berkuasa tempatan telah bekerjasama bagi memeriksa serta menjaga haiwan-haiwan berkenaan.

Dalam pada itu, Razaruddin berkata polis menyiasat kemungkinan 572 kanak-kanak yang diselamatkan ketika Op Global dan ketika ini ditempatkan di 11 rumah selamat disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), belum dituntut ibu bapa mereka kerana tidak mahu penipuan yang mengatakan mangsa ialah anak yatim, terbongkar.

Siasatan, katanya boleh dilakukan mengikut Akta 420 Kanun Keseksaan kerana ahli syarikat ini mendakwa anak-anak itu ialah anak yatim dan menerima bantuan bagi pihak mereka.

"Mereka tak akan cakap ini anak mereka, mereka akan dakwa ini anak yatim kerana ada antara mereka berbin dan berbinti Abdullah. Ini mungkin satu penipuan untuk mendapatkan sumbangan dan sumbangan ini digunakan dengan cara lain," katanya.

Razaruddin berkata ada juga dalam kalangan kanak-kanak itu telah diajar untuk mengatakan tidak mengenali ibu bapa kandung mereka.

"Ada juga ahli yang berkahwin empat dan mempunyai sebanyak 34 anak, namun hanya dua orang yang tinggal dengan mereka. Kalau kita tanya nama 32 nama anak yang lain pun mungkin dia tidak tahu," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS