mk-logo
Berita
Azmin sahkan tak bertanding jawatan tertinggi Bersatu
Diterbitkan:  Sep 23, 2024 6:27 PM
Dikemaskini: 11:00 AM

Pengerusi Bersatu Selangor, Mohamed Azmin Ali, telah mengesahkan dia tidak akan bertanding untuk sebarang jawatan kepimpinan pusat pada pemilihan parti yang akan datang bulan depan.

Ahli majlis tertinggi Bersatu itu dipetik BH Online berkata dia sekadar memilih untuk mempertahankan jawatan ketua bahagian Gombak.

"Saya tidak bertanding apa-apa jawatan tertinggi parti di peringkat pusat. (Hanya kekal tanding) Ketua Bahagian Gombak," kata bekas MP Gombak itu.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin pada Julai dilapor mendedahkan pelan penggantian untuk kepimpinan parti dan menamakan Azmin sebagai calon setiausaha agung yang berpotensi untuk menggantikan Hamzah Zainuddin.

Pencalonan untuk jawatan kepimpinan pusat Bersatu diadakan pada Sabtu dan Hamzah - berdasarkan pelan yang diumumkan Muhyiddin semasa konvensyen tahunan parti - merupakan satu-satunya calon untuk jawatan timbalan presiden.

Sementara itu, Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu pula mengesahkan dia bersetuju 'turun jawatan' untuk bertanding salah satu daripada tiga naib presiden parti.

Mesyuarat peringkat bahagian Bersatu dijadualkan berlangsung dari 12 hingga 26 Oktober.

Sebelum ini, sumber dipetik BH Online mendakwa Azmin, bekas timbalan presiden PKR yang menyertai Bersatu pada tahun 2020 menolak tawaran Muhyiddin untuk mengambil alih jawatan setiausaha agung yang dilantik.

"Namun, ada juga desas-desus mengatakan Azmin tak sanggup 'downgrade' dirinya daripada menang Timbalan Presiden PKR untuk jawatan Setiausaha Agung," kata sumber itu pada Julai.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS