Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
GISBH: Polis selamatkan kanak-kanak didera dalam video tular

Polis telah menyelamatkan dua kanak-kanak yang didakwa didera di sebuah rumah amal yang dikendalikan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH), yang dirakam dalam video yang tular baru-baru ini.

Mereka adalah antara kanak-kanak yang diselamatkan dalam operasi di Perak, yang merupakan sebahagian daripada fasa keempat operasi polis terhadap GISBH, kata Ketua Polis Negara Razarudin Husain.

“Polis melalui fasa keempat ini berjaya menyelamatkan empat kanak-kanak yang merupakan adik-beradik, berusia dari enam hingga 11 tahun. Mereka juga telah berpisah daripada bapa mereka sejak 2021.

“Salah seorang kanak-kanak itu tular di TikTok, (di mana dia dirakam) dirotan oleh ahli GISBH,” katanya dalam sidang media hari ini.

Razarudin berkata lagi, seorang lagi kanak-kanak, yang sebelum ini dirakam dipijak di bahagian leher dalam satu video berbeza, juga berjaya diselamatkan.

“Dia kini dalam jagaan polis dan Kementerian Kesihatan, dan ditempatkan di wad pediatrik untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Dia bagaimanapun tidak mendedahkan lokasi kanak-kanak lain ditempatkan.

Razarudin berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2021 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada 11 September lalu, polis menyerbu 20 rumah amal dikendalikan GISBH di Selangor dan Negeri Sembilan dan menyelamatkan 402 kanak-kanak, susulan dakwaan pengabaian kanak-kanak, amang seksual dan perbuatan cabul.

GISBH pada mulanya menafikan dakwaan tersebut, serta berhubung pihaknya yang mengendalikan rumah amal yang diserbu.

Namun, CEO syarikat itu Nasiruddin Mohd Ali kemudian mengakui mungkin ada “satu atau dua” kes liwat namun ia tidak seharusnya menjejaskan keseluruhan organisasinya.

Pada 19 September lalu, 19 individu, termasuk Nasiruddin dan isterinya, direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

138 akaun dibeku

Dengan siasatan masuk fasa keempat, Razarudin berkata jumlah akaun yang dibeku kini sebanyak 138, dengan anggaran nilai lebih RM800,000.

“15 akaun telah ditutup manakala kenderaan pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM1 juta (juga dirampas),” katanya lagi.

Dia berkata, sejumlah akaun yang dibeku adalah milik peribadi, namun tidak memberi maklumat lanjut berkenaan pemiliknya.

Ditanya jika ahli GISBH yang direman akan dihadapkan ke mahkamah, Razarudin berkata polis akan mengambil tindakan seterusnya selepas mempunyai bukti yang cukup.

“Biar kita siasat dulu. Sebenarnya tangkapan yang kita buat ini berdasarkan maklumat yang ada. Kita akan lengkapkan kertas siasatan secepat mungkin,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS