Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Fokus pada masalah orang hidup, kata pengkritik pada Zahid
Diterbitkan:  Sep 23, 2024 5:50 PM
Dikemaskini: 9:50 AM

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi tidak seharusnya memperkecilkan masyarakat India dengan meremehkan kebimbangan mereka kepada isu kekurangan krematorium, kata bekas timbalan ketua menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy.

“Beliau dan pemimpin Umno yang lain seharusnya menumpukan perhatian kepada menangani masalah yang dihadapi oleh orang yang masih hidup, khususnya golongan muda,” tambah pemimpin parti Urimai yang berasaskan kaum India itu.

Ramasamy berkata walaupun kaum India yang terdiri daripada kira-kira lapan peratus pengundi di kerusi DUN Mahkota di Johor,memerlukan krematorium, namun terdapat lebih banyak keperluan mendesak yang diabaikan.

“Sebagai contoh, kuil Hindu yang terletak di tanah rizab Melayu memerlukan pemindahan. Sebuah lagi kuil, yang telah dirobohkan akibat konflik dalaman dalam MIC, masih belum menerima tapak alternatif. Pada masa ini, berhala dari kuil yang dirobohkan ini disimpan di lot kedai berhampiran.

“Keperluan segera bagi masyarakat India bukan hanya krematorium, tetapi ruang yang sesuai untuk melakukan upacara terakhir untuk si mati. Walaupun diminta berulang kali, kepimpinan MIC kawasan gagal menyediakan tapak berhampiran sungai untuk upacara ini.

“Selain itu, tanah telah diperuntukkan untuk pembinaan sekolah Tamil beberapa tahun lalu, tetapi sehingga hari ini, tiada kemajuan dicapai dalam pembinaannya. Ini hanyalah satu contoh bagaimana orang India di Kluang dan di tempat lain bergelut dengan isu asas walaupun selepas 67 tahun merdeka,” katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, Malaysiakini hari ini melaporkan bahawa Zahid, yang juga pengerusi BN, berjanji untuk membina lebih banyak krematorium untuk masyarakat India di Johor.

Ramasamy turut menyifatkan dakwaan Presiden MIC, SA Vigneswaran bahawa lebih 80 peratus kaum India di kawasan Mahkota akan menyokong calon Umno sebagai “-angan-angan”.

“Vigneswaran belum diberi taklimat sepenuhnya mengenai cabaran sosio-ekonomi yang dihadapi oleh masyarakat India di kawasan itu. Lawatan dua hari kami ke Kluang dan Mahkota menjelaskan bahawa BN telah mengabaikan kaum India selama beberapa dekad. Membina krematorium tidak akan menangani isu asas masyarakat ini dalam sekelip mata.

“Jika masalah asas ini masih tidak dapat diselesaikan, bagaimanakah kerajaan boleh mengharapkan untuk menangani isu yang lebih besar seperti pengangguran belia, lesen perniagaan dan peluang komersial? Tidak hairanlah ramai belia India mencari pekerjaan di Singapura dan sebagainya,” tambahnya.

Cubaan terdesak raih undi - MIPP

Ketua Penerangan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Suthan Mookiah menyifatkan janji Zahid sebagai “percubaan terdesak untuk memenangi undi, daripada senarai panjang janji-janji yang tak ditunaikan.”

“Apa jadi dengan rumah penduduk ladang KKB (Kuala Kubu Baharu)? Ada sebarang perkembangan? Apa dah jadi dengan sekolah Tamil Sg Bakap? Adakah bajet diluluskan dan pembinaan disambung semula?” soalnya merujuk kepada janji-janji sebelum ini.

“Di manakah ahli politik BN dan MIC ini ketika keluarga-keluarga di Kluang selama beberapa dekad menghadapi masalah kekurangan krematorium dan kemudahan membuang abu yang tidak mencukupi pada masa mereka berduka?

“Apakah yang telah dilaksanakan oleh PMX (Perdana Menteri Anwar Ibrahim) kepada masyarakat India sehingga kini?” tambah pemimpin PN itu.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS