Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemimpin PKR pertahan Saifuddin: PAS ekstrem, perlu muhasabah diri
Diterbitkan:  Sep 23, 2024 5:18 PM
Dikemaskini: 9:18 AM

Seorang pemimpin PKR Pulau Pinang menggesa PAS untuk “bermuhasabah diri” susulan kecaman sejumlah pemimpinnya terhadap Saifuddin Nasution Ismail baru-baru ini.

Ia selepas Saifuddin, yang merupakan bekas setiausaha agung PKR, mengkritik ucapan Presiden PAS Abdul Hadi Awang semasa muktamar parti itu dua minggu lalu.

Ahli Majlis Pimpinan PKR Pulau Pinang Johari Kassim berkata PAS seharusnya menilai kembali sama ada tindakannya selaras dengan Islam atau tidak.

“PAS yang gila talak bagi saya perlu bermuhasabah diri, perlu menilai apakah tindakan mereka selaras dengan kehendak Islam. Apakah akhlak mereka juga cerminan Islam.

“Cukuplah berpolitik secara melampau. PAS sepatutnya menjadi pembangkang yang berkualiti dalam memberi teguran kepada kerajaan,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Saifuddin Nasution Ismail

Pada 17 September lalu, Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata PAS di bawah pimpinan Abdul Hadi telah jauh menyimpang daripada perjuangan asalnya.

Dia juga menyifatkan muktamar tahun ini sebagai kemuncak politik kebencian yang membiakkan budaya fitnah, mencerca dan memaki hamun dalam PAS.

“Adakah ahli-ahli PAS sedar bahawa disebalik hujah-hujah disaluti al-Quran dan hadis adalah sikap-sikap dan tindak-tanduk yang sebenarnya menyeleweng daripada ajaran Islam?

“Adakah pengikut dan pemimpin PAS sedar bahawa nilai, pendirian, risalah dan pendekatan mereka semakin menyerupai golongan Khawarij dan Hadi Awang bertanggungjawab sepenuhnya menyemai nilai-nilai dan amalan-amalan ini sejak 40 tahun dahulu?” soal Saifuddin.

Kritikan Saifuddin mengundang kemarahan sejumlah pemimpin PAS, antaranya Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakarian yang menyifatkan menteri itu sudah terdesak sehingga mengeluarkan kenyataan yang bertaraf “cyber trooper”.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan pula menyifatkan Saifuddin bersikap biadab dan menggesa dia digugurkan daripada Kabinet.

Takiyuddin Hassan

Mempertahankan kenyataan Saifuddin, Johari berkata melucukan apabila pemimpin PAS “bertalu-talu” menyerang Saifuddin selepas Hadi “dicuit sedikit”.

Menurutnya, kritikan Saifuddin berasas dan berdasarkan fakta dan realiti semasa politik.

“Sesuatu yang melucukan apabila Takiyuddin melenting terhadap Saifuddin apabila dia tidak menyebut secara protokol gelaran Tan Sri terhadap presiden PAS dan sekali gus dianggap biadab,” katanya lagi.

Johari berkata dia setuju dengan pandangan Saifuddin dan PAS ada kala perlu diberi teguran keras.

“PAS sememangnya parti yang ekstrem bagi saya. PAS sentiasa merasakan merekalah yang terpaling benar mahupun terpaling Islam di Malaysia.

“Pemimpin PAS sentiasa menyerang kepimpinan kerajaan termasuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim secara tidak beradab. 

“Pemimpin PAS sering melabelkan pemimpin kerajaan dengan gelaran tertentu sehingga mengenepikan akhlak Islam,” katanya lagi.

Abdul Hadi Awang

Ketika muktamar lalu, Abdul Hadi antara lain mendakwa ada kalangan agamawan bersama para pemimpin hari ini yang jahil dan zalim telah meminda agama Allah, dan mencipta agama sendiri.

Ahli Parlimen Marang itu juga mendakwa pentadbiran kerajaan perpaduan seperti meneruskan agenda sebagaimana golongan munafik pada zaman awal Islam di Madinah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS