Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar 'banduan terhormat' sila semak kes liwat - Pemuda PAS
Diterbitkan:  Sep 23, 2024 4:56 PM
Dikemaskini: 8:56 AM

Anwar Ibrahim berhak menuntut sejumlah pampasan yang besar akibat dipenjarakan atas tuduhan palsu, kata Timbalan Ketua Pemuda PAS Mohd Hafez Sabri.

Oleh itu, dia menggesa perdana menteri untuk memohon semakan terhadap kes-kes tersebut.

“Pertikaian berkenaan salah atau tidak terhadap hukuman sehingga PMX menjadi seorang ‘banduan terhormat’ adalah tertakluk kepada fakta kes mahkamah yang beliau dijatuhi hukuman,” kata Mohd Hafez seperti dipetik Harakahdaily.

Hafez berkata penting untuk memastikan badan kehakiman bebas dakwaan salah laku, terutama daripada seorang perdana menteri.

Menurutnya badan kehakiman mesti bebas daripada manipulasi dan campur tangan oleh ahli politik dan mereka yang memegang kuasa.

“Semoga tidak lahir lagi ‘banduan terhormat’ lain di Malaysia ini,” kata Adun Manjoi itu.

Hafez juga secara sinis "mengucapkan tahniah" kepada Anwar kerana mengakui dia seorang "bekas banduan yang diucapkan dengan begitu bangga di hadapan khalayak ramai."

Sabtu lalu, perdana menteri mengkritik sikap pembangkang yang sering menggunakan statusnya sebagai bekas penjenayah sebagai modal untuk mengkritik pentadbirannya.

“Ya, saya memang bekas banduan, tapi banduan terhormat dengan tuduhan zalim dan keji," tegas Anwar.

Kata Anwar generasi pembangkang sekarang ketandusan modal, hanya melemparkan fitnah dan penghinaan, sedangkan ketika dia menjadi mangsa kezaliman dulu, terdapat nama-nama besar dalam pembangkang seperti pemimpin PAS dan ulama yang tampil membela nasibnya.

Dia menyebut bekas presiden PAS Fadzil Mohd Noor dan Nik Aziz Nik Mat, serta bekas imam besar Masjid Negara Taib Azamudden Mohd Taib antara tokoh yang berdiri teguh menyokongnya.

Anwar pernah dipenjarakan dua kali atas tuduhan liwat, yang dinafikannya sebagai rekaan konspirasi politik.

Pertama, pada tahun 1999 semasa era pemerintahan pertama Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri. Anwar dibebaskan pada tahun 2004 apabila Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih.

Pada tahun 2015, Anwar disabitkan semula semasa pentadbiran Najib Razak.

Ketika menjalani hukuman penjara selama lima tahun, Anwar diberi pengampunan diraja selepas Mahathir menjadi perdana menteri semula dengan bantuan PH, gabungan politik pimpinan Anwar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS