Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MIPP: Kaum India perlu diperkasa, bukan bina lebih banyak krematorium

PRK MAHKOTA | Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) membidas Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi kerana disifatkan hanya mampu berjanji untuk membina lebih banyak tempat pembakaran mayat atau krematorium khususnya di Johor.

Presidennya, SP Punithan berkata kerajaan sepatutnya mengutamakan agenda memperkasakan masyarakat India berbanding membina lebih banyak krematorium.

"Keperluan masyarakat India melebihi krematorium di Johor. Pemimpin BN harus keluar dari mentaliti hanya berjanji membina krematorium, tanah kuil semasa pilihan raya.

"Orang India memerlukan peluang dan pemerkasaan ekonomi. Saya benar-benar terkejut Zahid hanya boleh mencadangkan untuk membina krematorium di Johor.

"Jadi inikah janji pemimpin BN ketika berkempen? Undi BN, dapat krematorium," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, Ahmad Zahid berkata Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi telah menyampaikan permintaan untuk membina lebih banyak krematorium kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Katanya, dia juga melakukan perkara serupa di Bagan Datuk, kawasan parlimen yang diwakilinya.

Sementara itu, Punithan meminta pengundi India di DUN Mahkota supaya menolak BN pada PRK berkenaan.

"Setiap kali pemilihan, BN hanya menumpang undi masyarakat India.

"Gabungan yang memerintah negara lebih 60 tahun, dan masyarakat India masih menunggu untuk perkara-perkara asas seperti krematorium, tanah sekolah, tempat ibadat untuk diselesaikan.

"MIPP memohon pengundi DUN Mahkota, jangan sesekali mengundi calon BN. Anda tidak sepatutnya mengulangi kesilapan yang sama berulang kali," katanya.

MIPP merupakan komponen gabungan PN.

PRK DUN Mahkota yang diadakan susulan kematian penyandangnya Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, menyaksikan pertembungan antara Syed Hussein dan calon Perikatan Nasional Mohamad Haizan Jaafar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS