Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keluarga Koh terima laporan kehilangan paksa yang 'diubah'

Keluarga Raymond Koh telah menerima versi laporan pasukan khas yang telah 'diubah dan diusik' mengenai kehilangan secara paksa paderi itu tujuh tahun lalu.

Peguam utama keluarga, Jerald Gomez memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa kerajaan menyerahkan versi laporan yang diklasifikasikan itu dua minggu lalu, pada 13 September.

Sebelum ini, kerajaan telah berjanji untuk menyerahkan salinan laporan pasukan khas (STF) yang diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972, supaya keluarga dapat menguatkan tuntutan saman mereka berhubung kehilangannya pada 13 Februari 2017.

Gomez memberitahu Hakim Su Tiang Joo, salinan laporan STF yang 'diubah dan diusik' itu melanggar perintah mahkamah untuk kerajaan menyerahkan dokumen yang diklasifikasikan tersebut.

Gambar fail, Susanna Liew isteri kepada Raymond Koh.

Peguam itu berkata laporan tersebut tidak jelas, tidak dapat dibaca dan gambar-gambarnya telah dikaburkan.

"Ini menjejaskan kemampuan kami untuk mengendalikan kes," kata Gomez menjelaskan pihaknya sedang mempertimbangkan permohonan penghinaan mahkamah terhadap kerajaan.

Peguam kanan persekutuan, Nurul Farhana Khalid kemudian memaklumkan salinan yang diserahkan kepada keluarga itu disebabkan laporan STF asal masih berada di Kementerian Dalam Negeri.

Wakil kerajaan dari Pejabat Peguam Negara (AGC) menegaskan salinan yang diserahkan kepada keluarga itu tidak diusik tetapi disebabkan masalah dakwat pada salinan tersebut.

"Kementerian Dalam Negeri memaklumkan bahawa mereka akan menyerahkan tiga salinan yang jelas esok," kata Nurul.

Su kemudian menangguhkan prosiding ke esok hari untuk membolehkan kerajaan menyerahkan salinan laporan STF yang jelas kepada pasukan peguam keluarga.

Pada 2019, Suhakam menyimpulkan penculikan Koh satu kehilangan secara paksa yang dilakukan oleh anggota Cawangan Khas Bukit Aman.

Isterinya Susanna Liew, 67, kemudian memfailkan tindakan sivil yang sedang berlangsung untuk pendedahan lokasi suaminya, Koh, 68.

Dalam proses saman tersebut, STF ditubuhkan untuk mengumpulkan laporan.

Namun, pihak berkuasa mengklasifikasikan laporan STF itu di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) walaupun terdapat gesaan daripada kumpulan hak asasi manusia untuk mendedahkan kandungannya kepada umum.

Sebelum ini, wakil undang-undang pihak berkuasa dari Pejabat Peguam Negara (AGC) membantah pendedahan laporan pasukan khas (STF) itu dengan alasan ia dokumen di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

AGC juga berhujah penemuan STF tidak mengikat kes saman sivil tersebut.

STF ditubuhkan di bawah Kementerian Dalam Negeri pada tahun 2020 dan pengklasifikasian semula laporan itu memerlukan tandatangan menterinya, Saifuddin Nasution Ismail.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS