Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Tiga lelaki maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 57 Jalan Lingkaran Tengah Utama, dekat Kampung Gua Tagang, Lipis, Pahang awal pagi tadi.

Berdasarkan laporan awal polis, kemalangan berlaku pada jam 2.35 pagi membabitkan dua treler dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Ketua Polis Daerah Lipis, Supt Ismail Man, berkata satu daripada treler itu mengalami kerosakan brek dan memberhentikan kenderaan berkenaan di lorong kiri jalan berkenaan.

Katanya sebuah lagi treler dari syarikat sama kemudian tiba untuk memberikan bantuan dan kenderaan tersebut diletakkan berhampiran.

"Ketika pemandu dan kelindan kedua treler terbabit sedang melakukan kerja pembaikan, sebuah kenderaan pacuan empat roda dipercayai terbabas sebelum melanggar treler berkenaan dan semua mangsa," katanya.

Ismail memaklumkan tiga mangsa maut di lokasi kejadian manakala dua lagi mangsa dihantar ke Hospital Lipis dan Hospital Gua Musang, Kelantan untuk rawatan lanjut.

Katanya, mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Aizad Rosdi, 27; Rushaidi Rusli, 22; dan Mohd Izani Mohd Yusoff, 31.

"Mohd Izani adalah pemandu treler yang rosak manakala Mohd Aizad dan Mohd Izani adalah pemandu dan kelindan treler yang memberhentikan kenderaan mereka untuk memberikan bantuan.

"Mereka berasal dari Pasir Puteh dan Tanah Merah, Kelantan.

"Pemandu pacuan empat roda, Mohd Khairul Azhar Mohd Noor dan kelindan kepada Mohd Izani mengalami kecederaan parah dan kini dirawat di Hospital Lipis dan Gua Musang," jelasnya.

Dia memaklumkan siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat dan saksi kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS