Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Amang seksual: Bekas guru bahasa Arab kekal dijel 9 tahun, 2 sebatan
Diterbitkan:  Sep 23, 2024 3:09 PM
Dikemaskini: 7:09 AM

Seorang bekas guru Bahasa Arab di sebuah sekolah rendah kekal dipenjara sembilan tahun dengan dua sebatan kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid lelaki berumur 10 tahun, enam tahun lepas.

Ini selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim menolak rayuan akhir Mohd Shahril Shaffie, 38, terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Putrajaya pada 2020.

Hakim Ahmad Zaidi dalam keputusan sebulat suara berkata mahkamah mendapati rayuan perayu tidak mempunyai merit dan tiada kekhilafan oleh hakim bicara (Mahkamah Sesyen) dalam menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan dua sebatan terhadap perayu serta hukuman itu telah dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Februari 2023.

Ahmad Zaidi berkata mahkamah juga tidak bersetuju dengan peguam perayu bahawa hukuman yang dijatuhkan oleh hakim bicara adalah terlalu tinggi.

“Dalam kes ini, perayu ialah tenaga pengajar yang diamanahkan untuk membimbing kanak-kanak tetapi telah menyalahgunakan kedudukannya sehingga menyebabkan mangsa mengalami trauma dan nama baik sekolah turut terjejas akibat tindakan perayu.

“Kesalahan dilakukan perayu adalah serius. Oleh itu, rayuan perayu terhadap sabitan dan hukuman ditolak,” kata Ahmad Zaidi yang turut memerintahkan perayu menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

Turut bersidang Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Azmi Ariffin dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noorin Badaruddin.

Mohd Shahril didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak lelaki itu antara pukul 12.15 hingga 12.45 tengah hari pada 22 Nov 2018 di rumahnya (tertuduh) di Subang Bestari, Shah Alam, mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Pada 30 Sept 2020, Hakim Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak Yong Zarida Sazali turut mengarahkan Mohd Shahril mengikuti khidmat kaunseling pemulihan selama lapan tahun dan berada dalam pengawasan polis untuk tiga tahun setelah selesai menjalani hukuman penjara.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Arif Aizuddin Masrom berhujah bahawa mangsa trauma dengan kejadian yang berlaku terhadapnya dan kesan trauma itu turut dialami ibu bapa mangsa.

“Ibu dan bapa mangsa dalam keterangan mereka menyatakan mangsa dibawa berjumpa dengan pakar kaunseling untuk memulihkan kesan trauma pada anak kecil yang ketika itu berusia 10 tahun lapan bulan akibat kejadian tersebut.

“Bapa mangsa dalam keterangannya di mahkamah berkata beliau tidak menyangka seorang ustaz yang mengajar anaknya telah melakukan perbuatan sedemikian dan ibu mangsa pula menyatakan sekolah yang sepatutnya menjadi tempat selamat kini ialah tempat yang tidak selamat untuk anak-anak,” kata Mohamad Arif yang turut memohon agar rayuan perayu ditolak.

Peguam Aqbal Shiffudin Adnan Sallehuddin yang mewakili Mohd Shahril pula berkata anak guamnya telah insaf dan memohon agar mahkamah memberikan peluang kedua untuk dia kembali berbakti kepada anak bangsa.

“Anak guam saya seorang duda dan mempunyai tanggungan ibu bapa, masing-masing berusia 63 dan 65 tahun selain perayu turut mengalami masalah gelincir cakera (slip disc),” kata peguam itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS