Sebuah konsortium antara syarikat China dan Malaysia untuk membangunkan syarikat Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura sedang dipertimbangkan, susulan perbincangan antara Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Presiden China Xi Jinping.
Perkara ini didedahkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, yang menyertai rombongan Agong ke China minggu lalu.
Menurut laporan Sin Chew Daily pada Jumaat lalu, Nga berkata Xi menyuarakan minat yang besar terhadap penglibatan China dalam projek HSR tersebut.
Apabila ditanya jika ini termasuk pembiayaan dari China, menteri itu dilaporkan menjawab kerjasama antara syarikat milik negara, parti atau syarikat swasta China dengan syarikat swasta Malaysia merupakan satu kemungkinan.
Dia berkata jika syarikat-syarikat ini mempunyai kekuatan kewangan untuk melaksanakan projek HSR, baik Beijing mahupun Putrajaya akan mengalu-alukan konsortium sedemikian.
Butiran lanjut, katanya, akan dibincangkan antara Kementerian Pengangkutan dan kerajaan China.
Nga juga menyebut terdapat aspirasi agar HSR pada suatu hari nanti dapat menyambung perjalanan hingga ke Kunming, China dan mewujudkan "Jalan Sutera Baru."
Sebelum ini, laporan Bloomberg memetik sumber mendakwa Sultan Ibrahim sedang mencari pelabur untuk projek HSR semasa lawatannya ke China.
Agong, yang juga Sultan Johor bertitah ingin melihat projek yang tertangguh ini menjadi realiti, dengan pelarasan semula laluan untuk melalui projek Forest City, di mana baginda juga mempunyai kepentingan.
Perjanjian dua hala HSR KL-Singapura telah ditandatangani pada 2016.
Pembinaannya ditangguhkan pada September 2018 di bawah kerajaan PH, yang meminta penangguhan sehingga akhir 2020.
Kemudian pada 2021, pentadbiran Muhyiddin Yassin - yang mengambil alih pada Mac 2020 - secara rasmi membatalkan perjanjian dengan Singapura selepas rundingan semasa pandemik Covid-19 menemui kegagalan.
Kerajaan Madani pula mengambil pendekatan agar projek HSR dibiayai sepenuhnya oleh sektor swasta tanpa memberi beban kewangan kepada Putrajaya.