mk-logo
Berita
Syor semak levi untung luar biasa sudah dibentang ke MOF - Johari
Diterbitkan:  Sep 23, 2024 2:48 PM
Dikemaskini: 6:51 AM

Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) telah membentangkan cadangan semakan semula levi keuntungan luar biasa (WPL) ke atas minyak sawit di negara ini kepada Kementerian Kewangan (MoF) minggu lepas.

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata pihaknya kini sedang menunggu maklum balas dan keputusan daripada MoF berhubung perkara itu.

“Pemain industri (minyak sawit) telah datang berjumpa saya dan MPOB (Lembaga Minyak Sawit Malaysia. Mereka menyatakan WPL mungkin sudah tidak relevan kerana kos (pengeluaran satu tan minyak sawit) semakin meningkat.

“Dahulu, untuk mengeluarkan satu tan (minyak sawit), kos kira-kira RM1,800 tetapi sekarang satu tan antara RM2,800 dan RM3,000,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Industri Sawit Malaysia (AISM) 2023/2024 di sini hari ini.

Beliau berkata sudah tiba masanya WPL disemak semula untuk memastikan levi tersebut relevan dengan peredaran masa dan menggalakkan lebih ramai pemain industri melabur dalam komoditi itu.

“Ini yang pemain industri kemukakan kepada saya sejak sembilan bulan saya menjadi menteri di KPK. Ini perkara utama yang mereka minta supaya kerajaan semak semula WPL,” katanya.

Pada 6 Julai lepas, Johari dilaporkan berkata KPK akan mengumpul data berkaitan kos yang terbabit daripada semua pemain industri minyak sawit di negara ini sebelum cadangan semakan semula WPL ke atas minyak sawit dihantar kepada MoF sebelum pembentangan Belanjawan 2025.

Sebelum ini, KPK telah meneliti isu WPL yang dibangkitkan oleh penggiat industri serta mengadakan rundingan dengan pihak berkaitan.

Kadar WPL sebanyak tiga peratus dikenakan terhadap harga minyak sawit melebihi RM3,000 satu tan di Semenanjung Malaysia dan melebihi RM3,500 satu tan di Sabah dan Sarawak.

Terdahulu, dalam ucapan, Johari berkata prestasi industri sawit pada separuh pertama 2024 iaitu bagi tempoh Januari hingga Jun merekodkan peningkatan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) kepada 8.9 juta tan metrik berbanding 8.1 juta tan metrik dalam tempoh sama pada tahun lepas.

Katanya dalam tempoh sama juga, eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit meningkat sebanyak 32 peratus daripada 12.2 juta tan metrik kepada 16.1 juta tan metrik.

Mengenai kepentingan penanaman semula kelapa sawit, Johari berkata tumpuan perlu diberikan kepada anak benih yang bermutu tinggi yang diiktiraf oleh MPOB.

“Ia berpotensi menghasilkan lebih banyak tandan buah sawit dengan kadar perahan minyak lebih tinggi serta ciri ketinggian pokok yang lebih rendah akan memudahkan kerja penuaian,” katanya.

Beliau berkata kepentingan penanaman semula sawit mengikut jadual pada kadar empat peratus setiap tahun bertujuan meningkatkan pengeluaran minyak sawit negara yang mampan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS