Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis buru tiga lelaki terlibat kes pecah rumah di Telok Panglima Garang
Diterbitkan:  Sep 23, 2024 1:43 PM
Dikemaskini: 5:43 AM

Polis giat mengesan tiga lelaki warga tempatan yang disyaki terlibat dalam kes pecah rumah di Telok Panglima Garang dekat Shah Alam, petang Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor dalam kenyataan berkata suspek melarikan diri setelah bertindak melanggar motosikal dinaiki anggota polis yang cuba menahan mereka.

Beliau berkata pihaknya terlebih dahulu menerima panggilan kecemasan daripada seorang lelaki pada kira-kira 2.40 petang yang melaporkan rumah jirannya dimasuki orang tidak dikenali. 

"Susulan itu, sekumpulan anggota telah digerakkan ke kawasan berkenaan dan apabila sampai di lokasi, suspek yang menaiki kenderaan jenis SUV kompak telah bertindak melanggar anggota yang menaiki motosikal apabila cuba ditahan. 

"Ekoran daripada itu anggota tersebut bertindak melepaskan satu das tembakan ke arah tayar kenderaan suspek, namun suspek berjaya melarikan diri menggunakan kenderaan sama," katanya.

Ahmad Ridhwan berkata kenderaan itu menggunakan nombor pendaftaran palsu dan anggota yang terlibat tidak mengalami kecederaan.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh berhubung dengan pegawai penyiasat Insp Mohamad Fadzil Mohamad Saidi di talian 013-9311208 atau mana-mana balai berhampiran.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS