Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kembalikan UPSR, PT3: Keputusan perlu dibuat secara holistik
Diterbitkan:  Sep 23, 2024 1:43 PM
Dikemaskini: 5:43 AM

Keputusan untuk mengembalikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) serta Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) perlu dibuat secara holistik dan tidak boleh dilihat dari satu aspek sahaja.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata buat masa ini Kementerian Pendidikan Maaysia (KPM) kekal dengan keputusan memansuhkan kedua-dua peperiksaan tersebut.

“Anak-anak kita bukan tikus makmal, sekejap ada peperiksaan sekejap tidak ada.

"Kita kena ada ketetapan dan kita telah buat pelbagai penegasan khusus untuk meneguhkan pentaksiran bilik darjah (PBD) dan latihan untuk guru bagi memastikan tiada apa-apa yang akan menjejaskan kemajuan mereka (murid),” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan KPM di Putrajaya hari ini.

Fadhlina berkata demikian sebagai mengulas desakan beberapa pihak supaya KPM mengembalikan UPSR serta PT3 yang dimansuhkan pada 2022.

Gesaan itu dibuat atas alasan ia akan membantu aspek kemenjadian murid, dan ketiadaan peperiksaan didakwa menyumbang kepada keciciran pelajar dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Fadhlina berkata KKM kini menumpukan pendekatan baru kurikukum persekolahan 2027 dan dalam proses merangka pelan pembangunan pendidikan baru bagi menetapkan hala tuju pendidikan negara untuk tempoh 10 tahun bermula 2026.

Sementara itu, KPM menerusi kenyataan memaklumkan mereka proaktif melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menangani isu keciciran murid dalam SPM dan mengenal pasti tiga faktor utama iaitu berhenti sekolah, buang sekolah dan telah bekerja.

“Walaupun jumlah ketidakhadiran murid dalam peperiksaan SPM berjaya dikurangkan kepada 10,160 pada 2023 berbanding 14,858 pada tahun sebelumnya (pengurangan 1.2 peratus), KPM komited untuk terus menggandakan usaha bagi menangani keciciran murid dalam peperiksaan itu,” katanya.

Bagi meningkatkan kehadiran dalam peperiksaan SPM serta memperbaiki jati diri murid, KPM berkata, mereka melaksanakan Program Jom Ke Sekolah, melantik duta sahsiah, mengadakan kerjasama dengan Akademi Kenegaraan Malaysia dan Program Remaja Unggul Aspirasi Negara.

Intervensi lain yang turut dilaksanakan ialah program gempur Kehadiran SPM, psikometrik Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), program minda sihat, program jejak SPM, bengkel pemantapan intervensi, pemerkasaan guru bimbingan dan kaunseling (GBK), karnival pendidikan dan kerjaya, program kolaboratif dan dashboard calon SPM.

Terkini, KPM bekerjasama dengan Kementerian Kewangan dan rakan strategik Yayasan Hasanah bagi melaksanakan program intervensi bagi menangani keciciran pembelajaran melibatkan penyertaan pelajar tingkatan empat dan lima.

Kerjasama itu, kata KPM, merangkumi penganjuran kelas tambahan bagi subjek Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik, program untuk meningkatkan keyakinan diri murid serta bimbingan hala tuju selepas SPM.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS