Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
M'sia tegaskan semula sokongan padu pada Palestin

Malaysia menegaskan semula sokongan tidak berbelah bahaginya terhadap perjuangan Palestin dan komited menggerakkan usaha melaksanakan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diterima pakai baru-baru ini bagi memberikan kejelasan undang-undang terhadap wilayah yang diduduki.

Perkara itu dibincangkan semasa pertemuan dua hala di antara Menteri Luar Malaysia Mohamad Hasan dan Perdana Menteri Palestin Mohammad Mustafa yang diadakan di luar Perhimpunan Agung PBB ke-79 hari ini.

Dalam kenyataannya Kementerian Luar memaklumkan pertemuan itu menekankan komitmen teguh Malaysia untuk menyokong Palestin dalam perjuangannya untuk mendapatkan kedaulatan dan keadilan.

Kedua-dua pemimpin terbabit juga, katanya, meneroka cara untuk mengukuhkan kerjasama dua hala dan usaha yang diselaraskan, khususnya melaksanakan resolusi perhimpunan agung mengenai pendapat nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung Palestin yang diterima pakai pada 19 Julai.

"Resolusi ini yang diluluskan semasa sesi tergempar khas pada 17 Sept bertujuan untuk mendapatkan kejelasan undang-undang mengenai situasi di wilayah Palestin yang diduduki," kata Kementerian Luar.

Terdahulu, Mohamad mewakili Malaysia di Sidang Kemuncak Masa Depan yang diadakan sempena UNGA ke-79 bertujuan membina konsensus baru tentang bagaimana sistem antarabangsa boleh memenuhi keperluan generasi semasa dan akan datang dengan lebih baik.

Ini juga menandakan penampilan pertama Mohamad di UNGA sejak memegang jawatan menteri luar pada Dis 2023.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS