Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Demi Malaysia - PH, BN perlu kekal kerjasama hadapi PRU16 - Liew
Diterbitkan:  Sep 23, 2024 12:17 PM
Dikemaskini: 4:27 AM
1

Bagi mengekalkan kestabilan negara serta mencapai lonjakan ekonomi kedua Malaysia, seorang pemimpin DAP tampil mencadangkan supaya kerajaan perpaduan hari ini bertanding bersama pada pilihan raya umum akan datang.

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong berkata, usaha itu perlu demi menjamin masa depan Malaysia.

Liew Chin Tong

Sehubungan itu, Liew yang juga adalah timbalan menteri pelaburan, perdagangan dan industri mencadangkan kerjasama itu dimulakan awal bagi membolehkan pertandingan satu lawan satu di semua kerusi pada PRU16. 

“Setelah lebih 22 bulan, kerajaan Perpaduan kekal teguh dan berjaya memerintah dengan baik.

“Kerajaan Perpaduan mentadbir bersama, menang dan kalah pilihan raya bersama, dan kita mahu bersama-sama membina negara demi generasi akan datang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Malah dia berkata, pilihan raya kecil DUN Mahkota pada 28 September ini penting sebagai pembuka jalan bagi gabungan PH dan BN terus bekerjasama menghadapi PRU16.

“Johor merupakan medan pilihan raya yang penting. Ia mempunyai 26 kerusi Parlimen, menjadikannya negeri di Semenanjung yang paling banyak kerusi.

“Gabungan PH dan BN di Johor menguasai 24 daripada 26 kerusi ini. Ini merupakan asas kekuatan kuasa politik Persekutuan,” katanya.

Menurut Liew, kerajaan perpaduan telah mentadbir bersama, menang dan kalah pilihan raya bersama, dan mahu bersama-sama membina negara demi generasi akan datang.

"Pada PRU 2022, ketiga-tiga gabungan - PH, BN dan Perikatan Nasional (PN) gagal mendapat majoriti mutlak untuk membentuk kerajaan.

"Atas titah nasihat Yang di-Pertuan Agong, Pakatan Harapan dan Barisan Nasional bersetuju untuk bekerjasama bagi menubuhkan kerajaan Perpaduan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS