Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRK Mahkota bukti setia PAS bersahabat, kata Tuan Ibrahim
Diterbitkan:  Sep 23, 2024 12:06 PM
Dikemaskini: 4:06 AM
1

PRK MAHKOTA | PAS, kata Tuan Ibrahim Tuan Man, sentiasa memberikan sepenuh sokongan kepada parti rakannya bagi menghadapi sebarang cabaran.

Justeru tambah Timbalan Presiden PAS itu lagi, pilihan raya kecil yang akan berlangsung pada Sabtu ini akan menjadi bukti bagaimana parti berkenaan menjalin hubungan dengan rakan mereka.

"Sepanjang bersahabat dengan mana- mana parti, PAS sentiasa menyokong dan komited membantu parti kawan dalam apa jua situasi.

"Komitmen ini tidak berubah dan PRK Mahkota sekali lagi menjadi bukti kesetiaan PAS terhadap persahabatan," katanya dalam kenyataan di media sosial hari ini.

Pengundi di kawasan DUN Mahkota akan keluar memilih calon bagi mewakili mereka pada 28 Sept ini ekoran kekosongan yang ditinggalkan Allahyarham Sharifah Azizah Syed Zain, 64, yang meninggal dunia pada 2 Ogos lalu.

Mengikut daftar pengundi di Suruhanjaya Pilihan Raya, seramai 66,318 pemilih layak untuk terlibat dalam proses tersebut.

Daripada jumlah itu 61,397 orang adalah pengundi biasa; 4,410 anggota tentera dan pasangan, 401 anggota polis serta 10 orang pengundi tidak hadir (berada di luar negara).

PRK kali ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara Syed Hussien Syed Abdullah, 40, yang mewakili PN dan dicabar bekas pemain bola sepak Johor, Mohamad Haizan Jaafar, 61, bagi pihak PN.

Tuan Ibrahim berkata pada pagi ini dia berjumpa dengan jentera PAS dari seluruh negara dan menyampaikan taklimat kepada mereka.

Kunjungan ke Balai Islam Haji Omar Jani di Kluang itu turut disertai Ahli Parlimen Parit Buntar, Mohd Misbahul Munir Masduki, serta Ketua Pembangkang DUN Perak, Razman Zakaria.

Tuan Ibrahim menegaskan, ahli dan jentera PAS dari negeri lain turut dikerah untuk membantu memenangkan Mohamad Haizan.

"Insya-Allah, kita usaha sehabis baik dengan sedaya upaya kekuatan yang ada," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS