Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
JAS siasat jentera korek pasir jadi punca tumpahan diesel di Sg Slim

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak akan menjalankan siasatan lanjut terhadap insiden tumpahan diesel di Sungai Slim dan Sungai Bernam yang berpunca daripada aktiviti pengorekan pasir.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Teh Kok Lim berkata lokasi aktiviti pengorekan pasir itu dianggarkan berada tiga kilometer di bahagian hulu Loji Rawatan Air Sungai Geliting, Slim dalam daerah Muallim.

"JAS Perak akan menjalankan siasatan lanjut berkaitan maklumat pengusaha pengorek pasir yang terlibat dengan merujuk perkara ini kepada Pejabat Tanah dan Daerah Muallim.

“Selain itu, pemantauan dan rondaan akan dijalankan di kawasan ini bagi memastikan kejadian sama tidak berulang,” katanya ketika dihubungi di Ipoh hari ini.

Beliau berkata menurut laporan JAS Perak kejadian tumpahan minyak itu disedari penyelia loji air yang sedang bertugas pada 2 petang semalam.

Teh berkata susulan itu satu pasukan penyiasat JAS Perak telah ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan dan menemui lapisan minyak diesel yang nipis di permukaan air kawasan muka sauk loji.

“Berdasarkan siasatan awal dipercayai terdapat kerja-kerja pengalihan jentera pengorek pasir ke lokasi lain dan berlaku insiden kemalangan hingga menyebabkan minyak diesel di dalam jentera tersebut tertumpah ke sungai seterusnya mengalir ke kawasan loji," katanya.

Susulan itu, beliau berkata loji air terpaksa ditutup buat sementara waktu bagi mengelakkan minyak memasuki kawasan rawatan air dan pihak operator loji telah memasang “oil boom” di sekeliling muka sauk bagi mencegah kemasukan minyak.

Bagaimanapun, Teh berkata pada 8.10 malam loji air berkenaan telah beroperasi semula selepas pihak JAS Perak mendapati tiada lagi kesan pencemaran minyak diesel di permukaan air sungai dan di kawasan muka sauk loji.

Terdahulu, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah menerima makluman berhubung insiden tumpahan minyak diesel di hulu Sungai Slim, Perak sekitar 8 malam semalam.

Agensi itu menyatakan kawasan tadahan Sungai Slim adalah sebahagian daripada lembangan Sungai Bernam di Perak, oleh itu aliran berkenaan juga masuk ke Sungai Bernam, Selangor.

Pasukan LUAS dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) telah membuat semakan di lokasi berkenaan selain mengaktifkan pemantauan statik di Sungai Slim dan keadaan adalah terkawal.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS