Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PBB beri amaran 'bencana yang semakin hampir' di Asia Barat

Penyelaras khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Lubnan, Jeanine Hennis-Plasschaert, memberi amaran bahawa Asia Barat sedang menghadapi situasi bencana, dengan menyatakan bahawa rantau itu "berada di ambang bencana yang semakin hampir", lapor Agensi Berita Jerman, Deutsche Presse-Agentur (dpa).

"Tiada penyelesaian ketenteraan yang akan membuat mana-mana pihak lebih selamat," katanya.

Kenyataan Hennis-Plasschaert merujuk kepada pertempuran berterusan antara tentera Israel dan Hizbullah di Lubnan, yang berlanjutan sepanjang malam.

Kedua-dua pihak terlibat dalam beberapa tembakan paling sengit sejak konfrontasi mereka bermula semula hampir setahun yang lepas.

Misi pemerhati PBB, UNIFIL (Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan) memantau sempadan Israel-Lubnan sejak 1978.

Bulan lepas, tiga askar UNIFIL cedera ringan akibat letupan berhampiran kenderaan mereka di selatan Lubnan.

Misi itu kini melibatkan kira-kira 10,000 anggota tentera dan 800 kakitangan awam. Sejak ia bermula hampir 50 tahun yang lalu, lebih 300 anggota pengaman PBB terkorban.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS