Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DAP Pulau Pinang ikrar sokong Chow, Sim tolak spekulasi bakal ketua menteri

DAP Pulau Pinang akan memberikan sokongan penuh kepada kerajaan negeri pimpinan ketua menteri Chow Kon Yeow, kata pengerusi DAP negeri yang baru, Steven Sim.

Sim juga menolak spekulasi bahawa dia kini bakal menjadi pengganti Chow.

"Kita tumpu kerja lapangan dulu. Okay, pastikan kita menang pilihan raya akan datang dan tubuhkan kerajaan bersama-sama," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas pemilihan DAP Pulau Pinang yang berakhir hari ini.

Chow menerajui DAP Pulau Pinang selama lebih dua dekad, namun membuat keputusan untuk tidak bertanding dalam pemilihan parti negeri tahun ini di tengah-tengah kebimbangan bahawa dia kehilangan sokongan.

Terdapat spekulasi bahawa dengan pengunduran Chow, terdapat usaha dari dalam DAP Pulau Pinang untuk menggantikannya sebagai ketua menteri.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke memberi jaminan bahawa Chow akan berkhidmat sehingga habis penggal.

Loke juga mencadangkan Sim sebagai pengerusi DAP Pulau Pinang yang baru, manakala Lim Hui Ying dikekalkan sebagai setiausaha DAP negeri, sebagai usaha untuk mengekalkan kestabilan dalam parti itu.

Jawatan pengerusi DAP negeri bukan syarat untuk dilantik menjadi ketua menteri berdasarkan amalan terdahulu.

Pendahulu Chow, Lim Guan Eng yang merupakan ketua menteri Pulau Pinang pertama daripada DAP - tidak pernah bertanding dalam pemilihan DAP negeri - dan secara langsung juga tidak pernah menjadi pengerusi DAP negeri.

Terdahulu semasa sidang media selepas pemilihan berkenaan, Sim berkata jawatankuasa DAP Pulau Pinang yang baru dilantik akan berusaha untuk meneruskan perjuangan pimpinan terdahulu.

"Di satu pihak kami akan menyokong sepenuhnya kerajaan negeri Pulau Pinang yang dipimpin oleh saudara Chow Kon Yeow dan juga kerajaan persekutuan yang dipimpin oleh Datuk Sri Anwar Ibrahim.

"Dan di satu pihak lagi kami akan terus bekerja keras menceminkan suara dan aspirasi rakyat Pulau Pinang tanpa kompromi," tambahnya.

Sim berkata dia akan mengetuai delegasi untuk melawat kawasan parlimen DAP Pulau Pinang bagi mendengar suara akar umbi dan orang ramai, serta merekrut ahli baru.

Sementara itu, Dia berkata Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang Ramkarpal Singh dan naib pengerusi, Zairil Khir Johari dan Yeoh Soon Hin akan membentuk pasukan petugas untuk melibatkan diri dengan kumpulan masyarakat sivil bagi menjalinkan hubungan yang lebih baik antara parti itu dan rakyat Pulau Pinang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS