Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Akta Pembaharuan Semula Bandar takkan jadikan Melayu minoriti - MP
Diterbitkan:  Sep 22, 2024 5:15 PM
Dikemaskini: 9:16 AM

Ahli parlimen DAP, Lim Lip Eng menolak dakwaan bahawa Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) akan menjadikan masyarakat Melayu sebagai minoriti dan menghilangkan kuasa politik mereka.

Menyifatkan dakwaan pemimpin PAS sebagai tidak berasas, Lim menjelaskan matlamat utama akta itu adalah untuk menangani cabaran pembangunan bandar dan meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.

"Pada tahun 2023, sebanyak 77 peratus rakyat Malaysia menetap di kawasan bandar, termasuk sebahagian besar masyarakat Melayu.

"URA bertujuan untuk memodenkan kawasan bandar dan menyediakan perumahan mampu milik yang memberi manfaat kepada penduduk Melayu dan Bumiputera, yang membentuk 62.6 peratus daripada populasi bandar. Akta ini memberi tumpuan kepada penambahbaikan infrastruktur dan kualiti hidup bandar, bukannya mengubah demografi penduduk,” kata ahli parlimen Kepong itu dalam kenyataan.

Semalam Bendahari PAS Iskandar Abdul Samad melahirkan kebimbangan mengenai akta itu yang kini di peringkat akhir sebelum dibentangkan di Parlimen.

Iskandar berkata perangkaan URA oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang diterajui pemimpin DAP, Nga Kor Ming itu seperti ada “udang di sebalik batu”.

Iskandar memberi contoh satu pembangunan semula kawasan penduduk Melayu, daripada 500 unit kediaman kepada penempatan 2,000 unit.

Katanya, walaupun penduduk asal turut mendapat unit di projek kediaman baru itu, baki 1,500 unit akan dihuni oleh penduduk campuran dan mengubah keadaan asal penempatan di kawasan itu.

Dakwanya lagi, kerajaan lalu menjadikan orang Melayu sebagai majoriti di sesuatu kawasan dengan menyediakan rumah mampu milik berharga bawah RM100,000 kepada mereka, namun kerajaan sekarang melakukan sebaliknya dengan membina rumah berharga lebih RM500,000, yang tidak mampu dimiliki orang Melayu.

Jumlah rumah mampu milik akan meningkat

Bertentangan dengan dakwaan Iskandar, Lim menjelaskan akta itu sebenarnya akan meningkatkan jumlah rumah mampu milik.

"Di bawah Rancangan Malaysia ke-12, Kerajaan Persekutuan komited untuk membina 500,000 unit rumah mampu milik menjelang tahun 2025. Harga rumah median sekitar RM300,000 berada dalam jangkauan kebanyakan rakyat Melayu, sekali gus menepis kebimbangan tentang kesukaran pemilikan rumah.

"Skim perumahan Madani di Taman Desa, Kuala Lumpur yang baru-baru ini diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menawarkan rumah seluas 800 kaki persegi pada harga RM200,000, yang sekali lagi membuktikan usaha kerajaan dalam menyokong golongan B40 untuk mendapatkan perumahan mampu milik,” jelasnya.

Pada Mac lalu, Nga mengumumkan bahawa akta itu kini di peringkat akhir, dan kementeriannya telah melakukan banyak dialog awam dengan pihak berkepentingan termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Dia berkata akta itu akan mencipta peluang berganda dan peluang pelaburan yang melimpah untuk mengubah landskap bandar serta menghasilkan nilai pembangunan kasar (GDV) yang mencecah berbilion ringgit

Mengulas lanjut, Lim menegaskan URA bertujuan untuk memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia, dengan penekanan khusus kepada golongan miskin bandar, sambil memastikan Bumiputera akan turut mendapat manfaat.

"Matlamat utama akta ini adalah untuk meningkatkan ketersediaan perumahan, merangsang pertumbuhan ekonomi, dan memastikan inklusiviti tanpa menjejaskan hak mana-mana kumpulan etnik.

"URA akan menyokong perpaduan nasional dan pembangunan ekonomi, serta memastikan populasi Bumiputera turut menerima manfaat secara adil,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS