mk-logo
Berita
Sanusi ucap terima kasih PM, bantuan banjir Kedah RM13 juta
Diterbitkan:  Sep 22, 2024 3:40 PM
Dikemaskini: 7:44 AM

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan pengumuman peruntukan RM13 juta untuk bantuan pascabanjir di Kedah.

Muhammad Sanusi berkata kerajaan negeri menghargai peruntukan itu bagi membantu membaik pulih infrastruktur rosak, bantuan kepada pesawah padi yang terjejas dan membaiki kediaman penduduk yang rosak.

“Bagi peruntukan yang diumumkan semalam, RM13 juta itu saya ucapkan terima kasih, saya harap ada lagi (tambahan peruntukan),” katanya kepada pemberita semasa melawat pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan mangsa banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah di Pendang hari ini.

Semalam, sewaktu melawat PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kedah, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM13 juta untuk bantuan pascabanjir di Kedah yang merangkumi sumbangan, pembersihan, serta baik pulih infrastruktur yang rosak akibat bencana banjir.

Muhammad Sanusi berkata kerajaan negeri juga sebelum ini telah mengumumkan bantuan awal RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah (KIR) yang berpindah ke PPS dan setakat ini lebih 2,000 KIR yang terlibat.

Beliau berkata kesan banjir kali ini dilihat menyeluruh di banyak daerah, tetapi tidak seburuk pada 2010 dan berharap fasa peralihan monsun yang diramal bermula pada 24 Sept ini tidak membawa gelombang kedua banjir di Kedah.

“Cuma di daerah Kota Setar saya dimaklumkan ada peningkatan mangsa banjir, kerana air di hulu sungai tengah surut dan mengalir ke kawasan Kota Setar,” katanya.

Jumlah mangsa banjir di Kedah meningkat kepada 8,898 orang setakat 8 pagi ini berbanding 8,066 orang pada 8 malam tadi.

Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa banjir yang melibatkan 2,871 keluarga kini ditempatkan di 44 PPS di lima daerah.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS