Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Onn Hafiz sedih: Harap pengundi Cina Mahkota tak hukum saya

PRK MAHKOTA | Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi berharap pengundi Cina tidak menghukumnya dengan tidak keluar mengundi pada pilihan raya kecil DUN ini.

Onn Hafiz berkata dia menerima laporan daripada komuniti perniagaan yang menyatakan pengundi Cina di Mahkota kurang berminat untuk mengundi kali ini.

"Jika benar, saya sangat-sangat sedih. Kerana isu-isu di peringkat persekutuan, mereka (pengundi Cina hendak) hukum saya.

"Kalau betul ia berlaku saya rasa macam saya kena hukum. sebab kerana saya bekerja keras untuk bangsa Johor tanpa mengira warna kulit,tanpa mengira cuaca," katanya pada satu video temu bual bersama China Press.

Dipercayai isu yang dimaksudkan Onn merujuk kontroversi pensijilan halal antara Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh dan Naib Pengerusi DAP Teresa Kok.

Sebelum kempen pilihan raya kecil Mahkota bermula, terdapat kebimbangan bahawa serangan Akmal terhadap Kok mungkin akan menjejaskan peluang BN untuk menang.

Pengundi Cina mewakili sekitar 35 peratus pemilih di Mahkota dengan 54 peratus Melayu dan lapan peratus India.

Sepanjang kempen pilihan raya di Mahkota, pemimpin kerajaan perpaduan dan PN dilihat cuba meraih sokongan pengundi Cina.

Pengarah pilihan raya kecil PN, Azmin Ali, memberitahu Malaysiakini pengundi Cina di kawasan itu meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Putrajaya berkenaan beberapa isu, termasuk kos sara hidup tinggi, inflasi meningkat dan peluang pekerjaan serta perniagaan yang merosot.

Pada masa sama, calon BN Syed Hussien Syed Abdullah ketika turun padang berkempen telah menunjukkan kebolehan bertutur dalam bahasa Mandarin untuk menarik undi pengundi Cina.

Dalam perkembangan berkaitan, Onn Hafiz berkata dia masih mempunyai harapan dengan pengundi Cina kerana mereka boleh melihat usaha keras kempen BN.

"Saya melakukannya untuk bangsa Johor, termasuk yang terlibat anak-anak kita, anak-anak Kluang yang berulang-alik setiap hari.

"Jadi saya harap saya tidak dihukum kerana perbezaan pendapat orang lain," katanya.

Onn Hafiz juga berkata dia yakin calon kerajaan perpaduan, Syed Hussien akan berkhidmat untuk rakyat di DUN Mahkota.

Katanya, dia sendiri akan memantau serta memastikan jika Syed Hussien menang, dia akan bekerja keras untuk membantu dirinya selaku menteri besar dan Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi.

Syed Hussien dan calon PN, Mohamad Haizan Jaafar bertarung merebut kerusi Mahkota pada 28 September, yang kosong selepas kematian penyandangnya, Allahyarhamah Sharifah Azizah Syed Zain, pada 2 Ogos.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS