Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
IGP nafi dakwaan PAS 'siasatan GISBH berlebih-lebihan'

Ketua Polis Negara Razarudin Hussain memaklumkan siasatan terhadap Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) dijalankan mengikut prosedur undang-undang.

Ketika dihubungi Malaysiakini Razarudin menolak dakwaan pihak berkuasa keterlaluan bertindak sambil menegaskan siasatan dibuat secara menyeluruh dan mematuhi undang-undang sepenuhnya.

"Kita jalankan siasatan mengikut perundangan yang kita ada dan tidak akan berlebih-lebihan.

"Bukan kita buat siasatan ini tidak berpandu pada perundangan termasuk juga bantuan dari semua agensi termasuk LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri)," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan menggesa pihak berkuasa supaya tidak menggunakan pendekatan berlebih-berlebihan dalam menghukum GISBH terutama kepada ahli yang tidak bersalah sambil menegaskan GISBH masih mempunyai sifat positif, seperti rangkaian perniagaannya yang luas.

Semalam, bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim turut membangkitkan isu serupa berkata walaupun kumpulan itu mungkin tersilap dalam tafsiran Islam namun tidak adil memusnahkan punca rezeki mereka.

Sebelum ini diaporkan beberapa perniagaan yang dikaitkan dengan GISBH terjejas berikutan penurunan mendadak pelanggan selepas anggota kumpulan itu didakwa mengeksploitasi serta mendera kanak-kanak, selain menyeleweng daripada ajaran Islam.

Perniagaan berkaitan GISBH - seperti kedai roti, restoran dan kedai dobi di seluruh Kelantan, Pahang, Selangor dan Perak - dilaporkan telah berkunci atau ditutup.

Pada 11 Sept lalu polis menyerbu 20 rumah amal dipercayai kendalian GISBH di Selangor dan Negeri Sembilan. Seramai 402 kanak-kanak juga berjaya diselamatkan selepas laporan dibuat berhubung dakwaan serangan seksual dan penderaan.

Bagaimanapun GISBH menafikan dakwaan penderaan serta aktiviti seks songsang membabitkan kanak-kanak di rumah perlindungan kendalian mereka seperti mana didedahkan polis.

Ketua pegawai eksekutifnya Nasiruddin Mohd Ali pada satu video kemudian mengaku mungkin berlaku "satu atau dua" kes liwat dan mendakwa kejadian sedemikian tidak sepatutnya memburukkan seluruh organisasinya.

Pada 19 Sept Nasiruddin termasuk isterinya, anak bekas pemimpin Al Arqam Ashaari Mohammad serta 16 yang lain direman selama tujuh hari.

Dalam pada itu, Razarudin berkata polis akan terus bekerjasama dengan agensi lain bagi memastikan siasatan menyeluruh dijalankan.

"Memang ada yang tutup (premis yang dikaitkan dengan GISBH).

"Siasatan kami melangkaui rumah kebajikan, dan dengan bantuan LHDN, kami memastikan proses yang menyeluruh," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS