Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lim: Pertahan k'jaan daripada ekstremis nak rampas kuasa
Diterbitkan:  Sep 22, 2024 2:17 PM
Dikemaskini: 6:17 AM

Pengerusi DAP Lim Guan Eng menggesa ahli parti itu mempertahankan kerajaan perpaduan daripada pihak yang menyokong dasar ekstremis untuk merampas kuasa.

"Mereka tiada penyelesaian ekonomi selain daripada mencetak wang. Mereka hanya tahu mengenakan larangan, menyalahkan wanita.

"Malah, penyanyi wanita bukan Islam tidak dibenarkan membuat persembahan di atas pentas atau menyertai sukan tertentu,” katanya ketika berucap pada konvensyen DAP Pulau Pinang yang diadakan di Spice Arena hari ini.

Walaupun, dia tidak menyebut nama namun Lim dipercayai menyasarkan kritikan itu terhadap PAS.

Pada 5 Ogos, exco kerajaan Terengganu Wan Sukairi Wan Abdullah mempertahankan keputusan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu yang melarang penghibur wanita membuat persembahan di Kuil Guan Di semasa sambutan yang diadakan dari 29 Julai hingga 2 Ogos.

Wan Sukairi yang memegang portfolio kerajaan tempatan berkata pengecualian boleh diberikan ke atas larangan wanita membuat persembahan di hadapan penonton lelaki jika penonton bukan Islam.

Bagaimanapun menurutnya, dalam kes kuil Guan Di persembahan itu diadakan di ruang yang terbuka kepada orang ramai.

Keputusan itu mendapat kritikan daripada beberapa ahli politik, termasuk Lim dan Naib Pengerusi DAP Teresa Kok.

Terengganu di bawah teraju PAS turut menimbulkan kontroversi apabila seorang lagi exco negeri menuntut jawapan daripada Persatuan Renang Amatur Terengganu (Tasa) selepas dua penerjun wanitanya bertanding dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) walaupun arahan larangan dikeluarkan.

Susulan itu, Tasa memohon maaf manakala Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil dua penerjun itu di bawah kendalian kementerian tersebut.

Dengar suara rakyat

Lim yang juga bekas menteri kewangan menggesa ahli DAP supaya sentiasa mendengar suara rakyat dan bekerja keras untuk menyediakan kehidupan yang lebih baik kepada mereka.

Dia juga mengingatkan mereka walaupun memenangi kuasa itu sukar namun lebih sukar lagi untuk mengekalkan kuasa maka ahli politik mesti sentiasa kembali kepada prinsip asas.

"Sentiasa mendengar suara rakyat, lakukan kerja rakyat dan berikan harapan kepada rakyat untuk masa depan yang lebih baik.

“Mereka mahukan kehidupan yang lebih baik, dari segi mata pencarian ekonomi, pendidikan, peluang pekerjaan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan digital.

"Tetapi ramai yang bertanya kepada saya, bagaimana kita mencapainya apabila kita berada dalam kerajaan dan berhadapan dengan dasar yang tidak popular dengan para penyokong kita," katanya.

Sehubungan itu, Lim menggesa ahli parti supaya membawa satu-satu isu melalui saluran kerajaan terlebih dahulu tetapi jika peluang sedemikian tidak ada, maka dia boleh memilih untuk menyuarakan perkara itu secara terbuka.

"Sebagai contoh, Naib Pengerusi DAP Kebangsaan Kok telah memilih untuk bersuara secara terbuka dan dia telah mendapat sokongan penuh daripada kepimpinan parti untuk menyatakan pandangannya,” katanya.

Sebelum ini Kok yang juga ahli parlimen Seputeh disiasat berhubung kenyataannya mengenai cadangan mewajibkan pensijilan halal ke atas restoran dan syarikat makanan yang tidak menghidangkan daging babi dan alkohol.

Antara lain Kok berkata cadangan itu bakal membebankan peniaga, termasuk orang Islam dan boleh menjejaskan imej Malaysia.

Susulan itu Akmal menggelarkan Kok sebagai "Nyonya tua" dan memberi amaran supaya pemimpin DAP itu tidak mencampuri urusan berkaitan agama Islam.

Dia juga secara sinis meminta kerajaan menyediakan logo non-halal untuk “ditampal di dahi” pemimpin DAP itu.

Kok telah memberikan keterangan kepada pihak polis berhubung isu itu namun menegaskan tiada keperluan untuk pihak berkuasa itu melakukan siasatan terhadapnya.

Dia juga telah dipanggil ke ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Putrajaya untuk disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 atas "penyalahgunaan kemudahan rangkaian dan perkhidmatan rangkaian".

Pada hari sama Kok mengeluarkan surat tuntutan kepada Akmal bagi menuntut ganti rugi berjumlah RM25 juta.

Dalam notis yang dihantar oleh peguamnya Sankara Nair and Partners, Kok mendakwa Akmal memutar belit kenyataannya mengenai isu pensijilan halal.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS