Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
JAIPs rampas 63 barangan berunsur sesat di premis dipercayai berkait GISBH
Diterbitkan:  Sep 22, 2024 1:15 PM
Dikemaskini: 5:15 AM

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) merampas 63 barangan berkaitan ajaran sesat berunsur batiniah dalam operasi bersepadu di dua premis yang dipercayai mempunyai kaitan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di sekitar Perlis semalam.

Pengarah JAIPs Najmuddin Abdul Karim berkata operasi bersepadu berkaitan Op Global itu melibatkan Bahagian Penguatkuasaan JAIPs dengan kerjasama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan.

“Operasi berkenaan dilaksanakan bagi tujuan penguatkuasaan, selaras dengan Fatwa Ajaran Sesat Berunsur Batiniah yang diwartakan pada 28 Ogos 2024.

“Hasil serbuan ke atas dua premis berkaitan GISB Holdings Sdn Bhd di sekitar Perlis, telah menemukan sebanyak 63 barangan berkaitan ajaran tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini yang dimuat naik melalui laman Facebook rasmi JAIPs.

Sehubungan itu, Najmuddin menasihatkan umat Islam di seluruh negeri untuk menjauhi ajaran yang telah difatwakan sesat oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis. Beliau turut menyeru mana-mana pihak atau individu yang mempunyai maklumat berkaitan ajaran tersebut agar tampil membantu pihak berkuasa.

“Tindakan selanjutnya akan diambil oleh Jabatan ini (JAIPs) mengikut lunas perundangan dan peraturan yang berkuat kuasa,” katanya.

Media melaporkan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis yang berlangsung Jumaat lepas memutuskan bahawa kepercayaan dan ajaran dalam GISBH mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah.

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dipetik sebagai berkata ajaran itu juga adalah kesinambungan daripada ajaran al-Arqam yang telah difatwakan sesat.

Sementara itu, tinjauan Bernama di satu premis pusat jagaan kanak-kanak di Arau yang disyaki mempunyai kaitan dengan GISBH ditutup dengan tampalan Notis Pemberitahuan Tindakan Lak (Notice Of Seal) oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis yang berkuat kuasa semalam.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS