Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Akmal didesak minta maaf pada Teresa isu sijil halal
Diterbitkan:  Sep 22, 2024 10:35 AM
Dikemaskini: 3:35 AM
3

Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Salleh didesak meminta maaf kepada Naib Pengerusi DAP Teresa Kok dan semua rakyat Malaysia berhubung isu pensijilan halal.

Ahli Jawatankuasa DAP Johor Dr Boo Cheng Hau berkata keputusan terkini kabinet untuk tidak mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan perniagaan makanan yang tidak menjual daging babi dan alkohol membuktikan kebenaran pendirian Kok.

"Keputusan kabinet membuktikan kebimbangan Teresa Kok terhadap perkara itu adalah berdasarkan kedaulatan undang-undang dan pandangan terhadap Perlembagaan Persekutuan.

"Pandangannya mencerminkan kebimbangan daripada semua lapisan masyarakat termasuk peniaga kecil Melayu dan bukan Melayu ketika rakyat menghadapi masalah ekonomi dan kecewa terhadap politik perkauman dan kepercayaan agama yang ekstrem," kata Boo pada satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini Kok yang juga ahli parlimen Seputeh disiasat berhubung kenyataannya mengenai cadangan mewajibkan pensijilan halal ke atas restoran dan syarikat makanan yang tidak menghidangkan daging babi dan alkohol.

Antara lain Kok berkata cadangan itu bakal membebankan peniaga, termasuk orang Islam dan boleh menjejaskan imej Malaysia.

Susulan itu Akmal menggelarkan Kok sebagai "Nyonya tua" dan memberi amaran supaya pemimpin DAP itu tidak mencampuri urusan berkaitan agama Islam.

Dia juga secara sinis meminta kerajaan menyediakan logo non-halal untuk “ditampal di dahi” pemimpin DAP itu.

Kok telah memberikan keterangan kepada pihak polis berhubung isu itu namun menegaskan tiada keperluan untuk pihak berkuasa itu melakukan siasatan terhadapnya.

Dia juga telah dipanggil ke ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Putrajaya untuk disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 atas "penyalahgunaan kemudahan rangkaian dan perkhidmatan rangkaian".

Pada hari sama Kok mengeluarkan surat tuntutan kepada Akmal bagi menuntut ganti rugi berjumlah RM25 juta.

Dalam notis yang dihantar oleh peguamnya Sankara Nair and Partners, Kok mendakwa Akmal memutar belit kenyataannya mengenai isu pensijilan halal.

Sebelum kempen PRK Mahkota, terdapat kebimbangan bahawa serangan Akmal terhadap Kok mungkin menjejaskan peluang BN untuk menang di kerusi itu.

Ini kerana pengundi Cina meliputi kira-kira 35 peratus daripada jumlah pengundi di DUN berkenaan.

Pergeseran reda

Pun begitu Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi pada 19 Sept menjelaskan pergeseran antara Ketua Pemuda Umno dan Naib Pengerusi DAP berhubung isu pensijilan halal sudah reda.

Zahid berkata dia sudahpun mengeluarkan kenyataan pada 18 Sept berkaitan pendirian kerajaan bahawa permohonan sijil halal kekal dibuat secara sukarela.

"Dah reda (tone down), saya sendiri telah berjumpa dengan Dr Akmal pada 14 Sept lepas bersama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan saya juga telah memberitahu Setiausaha Agung DAP Anthony Loke mengenai perkara itu.

"Jadi isu ini telah ditutup," kata Zahid.

Selesaikan cara baik

Sementara itu, Boo menasihati Akmal untuk menyelesaikan pertikaian dan konflik undang-undang yang sedang berjalan dengan Kok serta mengelakkan daripada menghidupkan semula politik perpecahan.

“Ketua Pemuda Umno Akmal Salleh bukan sahaja (perlu) memohon maaf kepada Teresa Kok dan menyelesaikan perselisihan pendapat dan pertikaian undang-undang secara baik.

“(Ini) untuk menunjukkan bahawa beliau adalah seorang pemimpin negara kelak yang matang dan berpotensi dengan tidak mengulangi politik terlampau yang kelam,” katanya lagi.

Boo berkata permohonan maaf Akmal itu penting untuk memulihkan imej BN di mata pengundi Cina pada pilihan raya kecil Mahkota.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
3
ADS