Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS: Siasat GISBH tapi jangan berlebih-lebihan
Diterbitkan:  Sep 22, 2024 9:31 AM
Dikemaskini: 2:00 AM
1

Sambil memuji tindakan polis terhadap Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH), PAS menggesa pihak berkuasa supaya tidak bertindak secara berlebihan.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata parti itu mengikuti rapat perkembangan siasatan terhadap GISBH.

"PAS mengalu-alukan siasatan yang telus, terperinci dan profesional ke atas pelbagai dakwaan terhadap GISBH mengikut undang-undang yang sesuai, sama ada melibatkan aspek kepercayaan dan pegangan keagamaan, mahupun isu-isu lain seperti amalan perniagaan, salah laku seksual, penganiayaan, perbuatan jenayah dan sebagainya.

"Namun begitu, berdasarkan kempen dan naratif negatif berkait kumpulan ini yang banyak tersiar di media sosial khasnya, yang mahu tindakan segera dan tegas diambil, PAS menggesa semua langkah diambil mestilah dibuat secara cermat dan teliti bagi memastikan tidak berlakunya pengabaian hak, ketidakadilan, dwistandard atau tindakan yang berlebihan-lebihan.

"PAS juga menyokong penuh tindakan tegas diambil ke atas pihak-pihak yang didapati bersalah, tetapi keghairahan untuk menghukum mereka tidak seharusnya memberi kesan buruk ke atas kumpulan itu secara keseluruhan, terutama sekali ahli-ahlinya yang tidak bersalah atau aspek-aspek aktiviti GISBH yang sah, patuh undang-undang dan bermanfaat,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

PAS menegaskan terdapat beberapa aspek positif mengenai GISBH seperti rangkaian perniagaannya yang besar.

“PAS percaya sisi-sisi positif kumpulan ini, termasuk jaringan perniagaannya yang luas, hendaklah dipelihara dan dilindungi daripada tindakan terburu-buru dan tidak adil yang mungkin berpunca daripada sentimen melulu, prasangka, persaingan perniagaan atau agenda politik tertentu pihak-pihak yang mahu menangguk di air keruh,” kata Takiyuddin lagi.

Semalam, polis menahan 155 lagi ahli Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) dalam serbuan besar-besaran melibatkan pelbagai agensi di seluruh Semenanjung Malaysia pada awal pagi.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata 78 lelaki dan 77 wanita ditahan di bawah Fasa 4 Ops Global manakala 186 mangsa lagi diselamatkan, termasuk wanita dan kanak-kanak.

Penahanan ini berlaku selepas polis menyelamatkan 402 kanak-kanak dalam serbuan ke atas 20 rumah amal GISBH di Selangor dan Negeri Sembilan pada 11 September, dengan 171 orang ditangkap.

Sembilan belas individu, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif GISBH Nasiruddin Mohd Ali, isterinya dan anak bekas pemimpin Al-Arqam Ashaari Mohammad telah direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan pada 19 September.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS