Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis tahan warga asing disyaki lakukan amang seksual, larikan budak perempuan

Polis menahan seorang lelaki warga asing yang disyaki melarikan dan melakukan perbuatan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun di Seri Kembangan, Serdang dekat Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP A.A Anbalagan dalam kenyataan berkata ketika kejadian kira-kira 11 malam itu, kanak-kanak warga tempatan berkenaan sedang bermain bersama beberapa rakan berhampiran tempat kerja bapanya.

Beliau berkata bapa mangsa kemudian menyedari anaknya dilarikan seorang lelaki sebelum melaporkan hal itu kepada pihak polis.

Menurut Anbalagan suspek ditangkap tidak lama selepas itu dan didapati memiliki bahan lucah serta tiada dokumen perjalanan yang sah.

Lelaki berumur 35 tahun itu direman tujuh hari hingga 29 Sept ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Seksyen 363 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan serta Akta Imigresen 1959/63.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS