Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
KPT beri kerjasama pada polis jika ada pensyarah, pelajar terlibat GISBH

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memberi kerjasama penuh kepada siasatan polis jika terdapat pensyarah atau pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) terlibat dengan ajaran dalam GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata ia bagi memastikan IPT bebas daripada sebarang bentuk dakyah dibawa GISBH.

“Perkara ini adalah dalam bidang kuasa polis yang telah bentuk satu pasukan khas bagi melaksanakan tanggungjawab telah diberikan.

“Ia (siasatan) akan melibatkan semua, tak kira sama ada dia pelajar atau pensyarah universiti. Bermakna, tindakan yang diambil adalah secara menyeluruh,” katanya selepas menghadiri majlis penyerahan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Lumut hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan kementerian sekiranya terdapat pensyarah dan pelajar yang terlibat dengan GISBH.

Dalam serbuan Op Global pada 11 Sept lepas, polis menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja dari 20 rumah amal dikaitkan dengan GISBH di Selangor dan Negeri Sembilan yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi buruh dan seksual.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain hari ini berkata jumlah terkini tangkapan berkaitan serbuan ke atas GISBH adalah seramai 200 orang.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS