Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kelantan isytihar GISBH sesat jika ajaran menyamai Al-Arqam : Mufti

Kelantan hanya akan mengisytiharkan ajaran dalam GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) sebagai sesat sekiranya ia menyamai organisasi al-Arqam yang difatwakan haram sebelum ini.

Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata perkara itu memerlukan siasatan lanjut dan bukti sahih sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

Beliau berkata pihaknya juga akan membawa isu berkenaan ke Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam yang bakal diadakan di Kuala Lumpur pada hujung bulan ini.

"Saya akan membincangkan isu ini di jawatankuasa muzakarah jika ada perkara-perkara berbangkit atau ciri-ciri baharu dalam GISBH, maka barulah satu fatwa baharu akan dikeluarkan," katanya kepada Bernama hari ini.

Semalam, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan kepercayaan dan ajaran dalam GISBH mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah.

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata ia juga adalah kesinambungan daripada ajaran al-Arqam yang telah difatwakan sesat.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS