Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu GISBH: Jais bentang laporan penuh minggu depan - Fahmi
Diterbitkan:  Sep 21, 2024 7:39 PM
Dikemaskini: 11:39 AM

Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Fahmi Ngah berkata pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan membentangkan laporan penuh minggu hadapan berhubung tindakan yang telah dan akan diambil berkaitan isu kumpulan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH).

Menurut Fahmi, dia menjunjung titah keprihatinan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan rasa dukacita terhadap cara pihak berkuasa mengendalikan isu berkenaan.

"Saya akan ditaklimatkan tentang langkah semasa JAIS bagi mengekang dan mengambil tindakan undang-undang berkenaan, termasuklah perkara berkaitan sekolah agama dan tahfiz di bawah GISBH di Negeri Selangor.

"Saya juga akan mendengar taklimat tentang profil 30 rumah amal di bawah GISBH di Selangor yang dilaporkan oleh JAIS kepada saya sebelum ini, termasuklah tentang dakwaan berlakunya pelantikan AJK masjid dari kalangan ahli GISBH di sebuah masjid Rawang dan isu surau Al Ikhwan," ujarnya dalam kenyataan.

Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita terhadap cara pihak berkuasa mengendalikan isu GISBH.

Dalam satu kenyataan awal petang ini, baginda bertitah perkara itu sudah berlanjutan begitu lama namun tiada sebarang tindakan berkesan diambil bagi menanganinya.

Bahkan baginda menegaskan agar pihak yang berkenaan tidak dilihat hanya seperti tong kosong apabila banyak bercakap semata-mata, sebaliknya mengambil tindakan yang berkesan.

Menurut Fahmi, tindakan susulan ke atas GISBH daripada siasatan hasil kerjasama orang awam, agensi-agensi agama negeri dan agensi penguatkuasaan persekutuan amat kritikal pada saat ini.

Tambahnya, pasukan khas yang diketuai oleh Pengarah Jais sedang berusaha mengukuhkan beberapa keperluan kes melibatkan pimpinan atasan GISBH dan beberapa kegiatan individu lain mengikut seksyen 7,8,10,12,13 dan 106 enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995.

"Saya berharap umat Islam di Negeri Selangor terus memberikan apa juga maklumat dan tampil ke JAIS untuk membuat aduan segera.

"Teruslah berwaspada dan berhati-hati dengan penampilan pakaian, kepetahan bersyarah dan penyebaran doktrin atas nama agama, kerana jelas terbukti ada kalangan mereka yang memanfaatkannya untuk kepentingan peribadi dan kelompok tertentu," ujarnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS