Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda PN lapor polis, dakwa BN guna jentera k’jaan untuk kempen

PRK MAHKOTA | Seorang anggota Pemuda PN membuat laporan polis ke atas BN hari ini, atas dakwaan menyalahgunakan jentera kerajaan untuk berkempen.

Penyelaras jentera PRK Pemuda PN Shazni Sulaiman mendakwa jutaan wang rakyat digunakan untuk program “Jelajah Orang Mahkota” yang disertai calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah.

“Program ‘Jelajah Orang Mahkota’ melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Siri PRK ketika (pentadbiran) kerajaan Madani merupakan pilihan raya paling kotor dalam sejarah negara.

“Dalam PRK Mahkota, regim Madani menggunakan modes operandi sama: memperkuda jentera kerajaan untuk berkempen dan menyogok pengundi dengan program yang menawarkan hadiah-hadiah lumayan,” kata Shazni kepada pemberita di luar ibu pejabat polis daerah (IPD) Kluang hari ini.

Menurutnya, antara hadiah yang ditawarkan program itu adalah sebuah motosikal dan barangan elektrik.

Dia juga mendakwa penjawat awam dipaksa untuk menghadiri program itu.

Program itu turut menampilkan selebriti sebagai sebahagian daripada kempen BN, dakwanya lagi.

Menurut poster program, “Jelajah Orang Mahkota” berlangsung semalam dan hari ini, dengan selebriti seperti Bunkface membuat persembahan.

Hadiah cabutan bertuah pula termasuk motosikal Yamaha Y16, televisyen pintar 40 inci, mesin basih, peti sejuk dan topi keledar.

‘Salah guna kuasa’

Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu Badul Hisham Shaharin, yang turut hadir bersama Shazni, menuduh Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi menyalahgunakan kuasanya.

Walaupun Onn membuat penafian, program itu adalah sebahagian daripada kempen BN, kata Badrul, sambil menambah laporan akan turut dibuat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Selepas rakaman percakapan (dengan polis), kita akan rujuk penasihat undang-undang kita untuk meneliti adakah perlu buat laporan kepada SPRM atau SPR.

“Wakil calon yang bekerjasama dengan SPR akan dibantu untuk membuat aduan kepada SPR,” katanya lagi.

Dia juga menggesa badan pemantau pilihan raya, Bersih untuk mengeluarkan kenyataan berkenaan dakwaan ini.

Syed Hussien yang merupakan ketua Pemuda Umno Kluang akan berdepan calon PN Mohd Haizan Jaafar.

PRK Mahkota diadakan berikutan kematian penyandangnya, Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos lalu.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS