Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Faizal sahkan tak pertahan jawatan timbalan presiden

Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu menerima keputusan agar dia berundur selangkah ke belakang” dan memberi ruang kepada setiausaha agung, Hamzah Zainudin untuk memegang jawatan nombor dua parti tanpa bertanding.

Faizal yang akan bertanding bagi jawatan naib presiden dalam pemilihan akan datang, berkata tumpuan utamanya adalah untuk mengukuhkan parti, dan bukannya cita-cita peribadi.

“Jawatan ini bukan milik peribadi. Parti pun bukan milik peribadi,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Faizal sekali lagi menegaskan cadangan agar dia berundur itu disuarakan presiden, Muhyiddin Yassin yang kemudiannya dipersetujui secara bersama oleh kepimpinan tertinggi parti.

“Ketika musyawarah dengan presiden, kami sebulat suara setuju dengan cadangannya, bagi memastikan parti kita lebih bersedia untuk hadapi pilihan raya dan cabaran yang akan datang.

“Untuk itu, kita telah bersepakat dengan Hamzah mengambil alih peranan timbalan presiden dan saya ambil satu langkah ke belakang untuk jadi naib presiden,” kata bekas menteri besar Perak itu lagi.

Muhyiddn pertama kali mengumumkan perancangan itu semasa Konvensyen Bersatu pada Julai lalu.

Hamzah Zainudin

Mengulas lanjut, Faizal berkata memang ada permintaan dalam kalangan ahli Bersatu agar dia mempertahankan jawatan timbalan presiden, namun menegaskan keputusan berkenaan pertukaran jawatan itu dibuat demi kepentingan parti.

“Tentulah di kalangan mereka yang kuat menyokong saya dan bersama saya sejak awal penubuhan parti merasakan saya patut kekal sebagai timbalan presiden.

“Tapi kita buat keputusan bersama, dengan presiden sehinggalah ke peringkat kepimpinan paling bawah. Kita terima perkara ini sebulat suara dengan semangat cintakan parti,” katanya yang menjadi pemimpin nombor dua Bersatu sejak 2020.

Pemilihan Bersatu bermula semalam dengan proses pencalonan untuk semua peringkat.

Proses pencalonan untuk peringkat bahagian dan pusat - merangkumi kedudukan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan jawatan dalam empat sayap, iaitu Pemuda, Srikandi, Srikandi Muda dan Bersekutu Pusat - dijalankan hari ini.

‘Naib presiden pun jawatan senior’

Mengulas lanjut, Faizal memaklumkan dia menjadi penyokong untuk pencalonan Hamzah hari ini, manakala Hamzah turut menjadi penyokong bagi pencalonannya.

“Seorang lagi naib presiden, Ronald Kiandee menyokong kedua-dua pencalonan.

“Saya jangka (pencalonan untuk) jawatan presiden dan naib presiden tidak akan ada gangguan,” katanya lagi.

Ditanya mengapa dia tidak bertanding untuk jawatan setiausaha agung - kedudukan yang dipegang Hamzah - Faizal berkata keputusan terletak di tangan Muhyiddin.

“Ketika perbincangan, kita berpakat untuk saya pegang peranan naib presiden - satu jawatan senior juga dan peranannya penting, tak kurang berbanding peranan timbalan presiden. Saya terimanya dengan baik,” katanya.

Muhyiddin sebelum ini mencadangkan Ahli MPT Azmin Ali memegang jawatan setiausaha agung.

Azmin Ali

Pada masa ini, kerusi naib presiden disandang oleh Ronald Kiandee dan Mohd Radzi Jidin. Kedua-duanya dijangka mempertahankan jawatan mereka dalam pemilihan kali ini.

Kerusi ketiga naib presiden kosong sejak Mohd Rafiq Naizamohideen keluar parti dan kembali kepada Umno pada 2022.

Faizal berkata dia akan menghormati proses demokrasi walaupun jika dia kalah dalam pemilihan.

“Setakat ini mungkin lebih daripada tiga orang (yang turut bertanding bagi jawatan naib presiden).

“Kita pegang kuat semangat demokrasi. No problem (jika kalah). Kita nak raikan perbezaan,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS