Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM minta wujudkan Kursi Syed Husin di Universiti Malaya

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta agar Kursi Dr Syed Husin Ali diwujudkan di mana-mana fakulti Universiti Malaya (UM) bagi mendalami pemikiran sarjana itu.

Anwar berkata beliau telah meminta Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir supaya segera melaksanakan perkara itu dengan persetujuan keluarga tokoh berkenaan.

“Kursi itu bukan sekadar membicarakan susuk Husin tetapi imbauan mengenai curahan pemikiran beliau dalam banyak tajuk, kemiskinan rakyat, sejarah rakyat yang sebenarnya sedikit sebanyak menyimpang dari aliran pemikiran semasa.

“…beliau bukan seorang sarjana yang mempunyai pengkhususan dalam bidang tertentu tetapi mempunyai ruang pemikiran yang sangat luas jadi Kursi Husin itu gagal kalau kita juruskan satu aspek yang terbatas, (ia) sebenarnya membicarakan soal rakyat, soal Malaysia, soal kemanusiaan dan soal perjuangan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan di Majlis Memperingati Prof Dr Syed Husin Ali yang berlangsung di Institut Pengurusan dan Perkhidmatan Penyelidikan UM hari ini.

Allahyarham Syed Husin yang juga bekas Timbalan Presiden PKR meninggal dunia pada usia 87 tahun pada 29 Jun lepas akibat kanser.

Sahabat rapat serta rakan seperjuangan Anwar itu terlibat dalam banyak pilihan raya selain merupakan antara tokoh politik yang sudah lama berjuang dalam arena tersebut.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai pensyarah dan profesor di UM sebagai pakar dalam bidang sains sosial.

Dalam pada itu, Anwar turut mengumumkan dana RM200,000 kepada Persatuan Sains Sosial Malaysia untuk membantu mengkaji karya serta kajian yang diterbitkan oleh Syed Husin.

“Untuk penulisan dan kajian khusus tentang beberapa karya beliau dan kajian yang boleh diselenggara oleh persatuan, saya umumkan dana RM200,000 untuk tujuan itu dan saya akan luluskan pada minggu depan.

“Beliau seorang yang sangat keras dalam soal tatakelola dan isu-isu rakyat terutama dalam hal kemiskinan rakyat...karyanya banyak menyentuh soal ini,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS