Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
GISBH: Sultan Selangor tak berkenan jika umpama tin kosong
Diterbitkan:  Sep 21, 2024 2:10 PM
Dikemaskini: 6:28 AM

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita terhadap cara pihak berkuasa mengendalikan isu kumpulan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH).

Dalam satu kenyataan awal petang ini, baginda bertitah perkara itu sudah berlanjutan begitu lama namun tiada sebarang tindakan berkesan diambil bagi menanganinya.

Bahkan baginda menegaskan agar pihak yang berkenaan tidak dilihat hanya seperti tong kosong apabila banyak bercakap semata-mata, sebaliknya mengambil tindakan yang berkesan.

“Beta berasa kesal dan kecewa kerana perkara ini telah berlanjutan untuk suatu tempoh yang lama dan tiada tindakan berkesan diambil untuk menangani perkara ini.

“Beta tidak mahu kita hanya diumpamakan sebagai tin kosong yakni hanya pandai bercakap tetapi tiada hasilnya.

"Kita hendaklah berpegang kepada prinsip walk the talk or putting your words into action (kotakan apa yang dikata, atau laksanakan kata-kata kamu melalui tindakan).

"Di samping itu beta juga menyeru agar semua agensi penguat kuasa agama dan polis agar menjalankan penyiasatan dengan telus dan sentiasa memelihara integriti dan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada mereka," titah baginda.

Polis baru-baru ini melancarkan Op Global ke atas beberapa premis yang dikaitkan dengan GISBH dan terletak di beberapa negeri termasuk Selangor.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain kemudian membuat pendedahan mengejutkan apabila siasatan pihak berkuasa mendapati berlaku kes liwat di premis tersebut.

Tindakan tanpa kompromi

Dalam operasi berkenaan polis juga berjaya menyelamatkan lebih 400 kanak-kanak berusia antara tujuh bulan hingga 17 tahun yang berada di pusat jagaan kendalian individu dipercayai anggota GISBH.

Sembilan belas individu juga direman polis bagi membantu siasatan.

Antara mereka ialah Ketua Pegawai Eksekutif GISBH, Nasiruddin Mohd Ali, serta anak pengasas kumpulan Al-Arqam, Ashaari Mohammad.

Titah Sultan Sharafuddin masyarakat terpaksa menerima hakikat bahawa kelewatan tindakan tegas diambil bagi menangani kemelut tersebut sekadar menunjukkan kelemahan pihak yang berkenaan.

Lantaran kelewatan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang oleh agensi agama itu, titah baginda, perkara yang melibatkan kumpulan terkait dengan ajaran sesat itu menjadi sangat serius dan tidak terkawal.

Untuk rekod setakat ini Perlis sudah mengeluarkan fatwa bahawa kepercayaan dan ajaran kumpulan berkenaan adalah sesat.

Sultan Sharafuddin yang juga bekas pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) turut memberi peringatan keras terhadap semua pihak terutama pihak berkuasa agama agar memberi perhatian serius terhadap tindak-tanduk kumpulan GISBH.

Lebih-lebih lagi, titah baginda, apabila ia melibatkan kanak-kanak dan ajaran sesat yang disyaki diamalkan oleh mereka.

"Tindakan segera dan tanpa kompromi perlu dilakukan mengikut undang-undang terhadap mana-mana pihak yang melakukan jenayah terhadap kanak-kanak dan amalan-amalan yang bertentangan dengan akidah demi memelihara kesucian Islam,” titah baginda.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS