Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zaid minta jangan hukum perniagaan GISBH
Diterbitkan:  Sep 21, 2024 12:48 PM
Dikemaskini: 4:48 AM

Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim menggesa agar kerajaan tidak menghukum perniagaan milik Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Mengulas isu berkenaan di X, Zaid mengakui bahawa kumpulan itu mungkin melakukan kesilapan dalam tafsiran Islam, namun ia bukan alasan untuk memusnahkan kehidupan mereka.

“Saya harap Majlis Fatwa Kebangsaan dapat membezakan kesilapan duniawi yang dilakukan oleh orang Melayu daripada bahagian sistem kepercayaan mereka tentang Tuhan dan akhirat.

"Jika mereka telah melanggar undang-undang, ambil tindakan segera terhadap mereka.

"Iman boleh dipulihkan segera dengan bimbingan yang betul, tetapi perniagaan mengambil masa bertahun-tahun untuk dibina dan, apabila musnah, mungkin tidak berkembang lagi," jelasnya.

Semalam, Bernama melaporkan beberapa perniagaan yang dikaitkan dengan GISBH terjejas berikutan penurunan mendadak pelanggan selepas kumpulan itu didakwa mengeksploitasi serta penderaan kanak-kanak, selain menyeleweng daripada ajaran Islam.

Laporan itu menyatakan bahawa perniagaan yang berkaitan dengan GISBH - seperti kedai roti, restoran dan kedai dobi di seluruh Kelantan, Pahang, Selangor dan Perak - telah berkunci atau ditutup.

Pada 11 Sept lalu polis menyerbu 20 rumah kebajikan dipercayai dikendalikan GISBH di Selangor dan Negeri Sembilan. Seramai 402 kanak-kanak juga berjaya diselamatkan selepas laporan dibuat berhubung dakwaan serangan seksual dan penderaan.

Bagaimanapun GISBH menafikan dakwaan penderaan serta aktiviti seks songsang membabitkan kanak-kanak di rumah perlindungan kendalian mereka seperti mana didedahkan polis.

Ketua pegawai eksekutifnya Nasiruddin Mohd Ali kemudian dalam satu video mengaku berlaku "satu atau dua" kes liwat dan mendakwa kejadian sedemikian tidak sepatutnya memburukkan seluruh organisasi.

Pada 19 Sept pula Nasiruddin, isterinya, serta 17 yang lain direman selama tujuh hari.

Pandangan tentang mufti

Terdahulu, pada 18 Sept lepas, seorang lagi anggota GISBH didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap seorang wanita di Mahkamah Majistret Putrajaya.

GISBH ditubuhkan oleh Allahyarham Ashaari Mohammad selepas kerajaan mengharamkan gerakan Al-Arqam dipimpinnya sebagai ajaran sesat.

Mengulas lanjut, Zaid mempersoalkan mengapa perniagaan GISBH terpaksa ditutup sedangkan syarikat yang menggunakan buruh kanak-kanak dan menahan gaji selama berbulan-bulan terus dibiarkan beroperasi.

“Pihak berkuasa menghukum mereka dengan teruk, kerana mereka mendakwa orang yang menjalankan perniagaan itu menyeleweng.

"Tetapi perniagaan perdagangan, kedai makan dan pembangunan hartanah adalah seperti perniagaan lain," katanya.

Zaid turut mendakwa terdapat sekolah agama yang terlibat dalam aktiviti seksual dan salah undang-undang, namun tidak diberi layanan yang sama atau dibekukan akaun mereka.

Tambahnya jika perniagaan GISBH ada kelemahan, kementerian atau Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang harus menangani perkara itu, bukannya mufti.

“Kerajaan kita mempunyai birokrasi agama yang luas. Mereka menentukan apa yang anda boleh percaya dan apa yang anda tidak boleh.

"Mereka boleh memusnahkan kehidupan seseorang yang dianggap sebagai menyeleweng. Mereka mempunyai kuasa mutlak untuk memilih jalan yang betul bagi umat Islam.

“Ulama Islam seperti mufti tidak sepatutnya mempunyai kuasa yang terlalu besar untuk menutup perniagaan, seolah-olah mereka tahu segala-galanya tentang dunia dan akhirat,” tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS