Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sikap sambil lewa punca Trump nyaris ditembak mati
Diterbitkan:  Sep 21, 2024 11:59 AM
Dikemaskini: 3:59 AM

GLOBAL | Perkhidmatan Rahsia AS hari ini mendedahkan kelemahan dalam komunikasi dan kekurangan ketekunan sehingga memungkinkan cubaan membunuh Donald Trump semasa dia berkempen pada Julai lalu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Thomas Matthew Crooks berjaya membawa senjata dan melepaskan beberapa das tembakan dari kedudukan tinggi semasa calon presiden AS itu berkempen berhampiran Butler, Pennsylvania pada 13 Julai.

Dalam kejadian itu, sebutir peluru mengenai telinga kanan Trump.

Bercakap dalam sidang akhbar, pemangku Pengarah Perkhidmatan Rahsia Ronald Rowe berkata semakan itu mengenal pasti kelemahan dalam perancangan awal dan pelaksanaan oleh kakitangan Perkhidmatan Rahsia.

"Walaupun sesetengah anggota pasukan perisikan sangat tekun, sebahagian yang lain bersikap sambil lewa hingga membawa kepada pelanggaran protokol keselamatan," kata Rowe.

Pengarah Perkhidmatan Rahsia AS, Kimberly Cheatle, meletakkan jawatan susulan cubaan pembunuhan itu yang turut menyebabkan seorang penonton maut dan dua lagi cedera parah.

Crooks pula ditembak mati oleh pasukan keselamatan AS.

Rowe berkata, Perkhidmatan Rahsia meningkatkan model perlindungannya berikutan ancaman yang semakin meningkat dan dinamik pada masa kini.

"Apa yang jelas kepada saya ialah kita memerlukan anjakan paradigma dalam cara kita menjalankan operasi perlindungan," kata Rowe.

Agensi itu sedang memohon pembiayaan, kakitangan dan peralatan tambahan untuk beralih "daripada keadaan bertindak balas kepada keadaan bersiap sedia."

- Bernama/dpa


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS