Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
JAS tolak cadangan projek ladang sawit di Kuala Nerus

Jabatan Alam Sekitar (JAS) menolak laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) bagi projek perladangan kelapa sawit di Kuala Nerus, Terengganu, yang sebelum ini menimbulkan kebimbangan terhadap alam sekitar.

Menurut laman web JAS, status EIA projek berkenaan telah disemak semula daripada "dalam proses" kepada "tidak diluluskan".

Jurucakap JAS pula mengesahkan kepada Malaysiakini, cadangan projek Pure Green Development Sdn Bhd (Pure Green) itu ditolak.

Katanya keputusan tersebut dibuat agensi berkenaan pada 9 Sept lalu.

Semalam, Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) cawangan Terengganu mengumumkan bahawa JAS telah menolak laporan EIA bagi cadangan pembangunan lebih 2,000 hektar hutan paya gambut dara.

“Akibatnya, pembangunan telah dihentikan buat masa ini.

“Selain respons menyeluruh MNS Terengganu terhadap EIA dan bantahan yang disuarakan oleh pelbagai pihak, media seperti Macaranga dan Malaysiakini memainkan peranan penting dalam membina kes yang kukuh terhadap projek itu.

"Kita bersama-sama berjaya melindungi ekosistem penting ini daripada eksploitasi," katanya.

MNS Terengganu juga berharap ia merupakan permulaan kepada lebih banyak kejayaan kepada usaha memulihara alam sekitar di Terengganu dan berjanji untuk terus memperjuangkan pembangunan mampan yang memberi manfaat kepada manusia dan dunia.

Pure Green menyerahkan laporan EIA pada pertengahan Jun lalu bagi hutan paya gambut seluas 2,229 hektar di Kuala Nerus sebelum dibangunkan sebagai ladang kelapa sawit.

Syarikat itu milik Tengku Baderul Zaman yang merupakan abang kepada Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

Pelbagai agensi kerajaan termasuk Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Lembaga Sumber Air Terengganu, dan JAS menyatakan kebimbangan mereka terhadap kemungkinan projek berkenaan tidak menguntungkan bahkan berisiko gagal.

Mereka juga bimbang masalah banjir dan krisis air di kawasan itu akan menjadi lebih teruk.

Walaupun projek perladangan kelapa sawit di hutan gambut ditangguhkan, hutan Belara yang terletak di timur tapak pembangunan yang dirancang diancam oleh projek pembalakan.

Satu daripada syarikat yang terlibat dikenali sebagai Cahaya Ikhtiar Sdn Bhd yang pemilik tunggalnya ialah Sultan Mizan.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS