Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tugas pertahan kedaulatan negara tanggungjawab semua kaum
Diterbitkan:  Sep 21, 2024 10:56 AM
Dikemaskini: 2:56 AM

Tanggungjawab mempertahankan negara daripada ancaman musuh perlu dipikul secara bersama, yang bermakna komposisi angkatan tentera di negara ini tidak terbatas kepada orang Melayu sahaja, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Baginda bertitah memahami hakikat komposisi rakyat di negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum, adalah penting untuk diusahakan langkah ke arah itu

“Pada tahun 1952, penyertaan bukan Melayu dalam angkatan tentera dirintis dengan penubuhan batalion pertama Rejimen Persekutuan dan Skuadron A, Rejimen Kereta Perisai Persekutuan.

"Ini diikuti dengan penubuhan unit-unit signal, jurutera, pengangkutan, dan polis tentera, serta penubuhan Maktab Tentera Persekutuan di Port Dickson yang membuka pengambilan pelajar untuk semua kaum,” titah Sultan Nazrin.

Baginda bertitah sedemikian pada istiadat perbarisan pentauliahan diraja dan pengurniaan watikah tauliah pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) universiti awam Ke-42 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), Tanjung Malim hari ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim

Turut hadir Menteri Besar Perak Saarani Mohamad; Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir; pemangku Panglima Angkatan Tentera Jeneral Muhammad Hafizuddeain Jantan; Panglima Tentera Udara Jeneral Mohd Asghar Khan Goriman Khan; dan Panglima Armada Barat Laksamana Madya Shamsuddin Ludin mewakili Pemangku Panglima Tentera Laut.

Sultan Nazrin bertitah anggota Palapes yang berjaya melayakkan diri diterima sebagai warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah melalui latihan intensif dari segi fizikal, mental, ketahanan serta pelbagai ujian lain.

Proses ini juga, titah baginda, melibatkan transformasi menyeluruh yang merangkumi aspek fizikal, minda, dan spiritual.

Titah baginda lagi, mereka yang berkenaan juga didedahkan dengan dimensi budaya ketenteraan yang mengutamakan disiplin, menjunjung semangat setia, mengamalkan ketaatan ketika melaksanakan misi, selain sedia berpanas, berhujan, bertempur, ke medan perang dan berkorban nyawa.

"Setiap keberanian itu dan segala kerelaan itu dilakukan bukan untuk kepentingan diri tetapi dilaksanakan untuk kepentingan mempertahankan negara bangsa," titah Sultan Nazrin.

Baginda bertitah, anggota tentera yang sedang menyempurnakan amanah dan memenuhi tanggungjawab mereka hendaklah menjadikan pegangan dan prinsip kepercayaan kepada Tuhan sebagai panduan agar perjuangan tidak tersasar.

Semangat kesetiaan kepada raja dan negara pula, titah baginda, mesti dijunjung pada setiap masa, berteraskan perlembagaan dan berpaksikan undang-undang.

“Disiplin yang telah menjadi budaya saudara-saudari hendaklah dipamerkan melalui tingkah laku yang bersopan dan bersusila," titah Sultan Nazrin

Seterusnya, baginda berpesan agar inti pati ucapan Allahyarham Mohd Nor Tamrin ketika bersara sebagai brigedier jeneral pada 1966 dijadikan pedoman.

Diadakan bergilir-gilir

Ucapan tersebut menegaskan tiga komponen yang harus dipatuhi oleh angkatan tentera, iaitu semangat muhibah dan harmoni terhadap semua kaum, disiplin yang ketat, serta kesetiaan seratus peratus kepada raja, negara, dan kerajaan.

Pada masa sama, baginda bertitah supaya peringatan Allahyarham Jeneral Ibrahim Ismail sebelum bersara daripada jawatan Ketua Turus Angkatan Tentera pada tahun 1977 juga dijadikan panduan.

Titah Sultan Nazrin, nasihat tersebut bertujuan memastikan demokrasi dapat subur di Malaysia, supremasi awam dipertahankan, hakikat masyarakat pelbagai kaum diterima, kedaulatan undang-undang dilaksanakan, pertukaran kerajaan berlangsung secara teratur, dan hak asasi manusia dihormati.

Sementara itu, pada majlis istiadat hari ini Sultan Nazrin mewakili Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mentauliahkan 1,435 Palapes terdiri daripada 20 universiti awam, termasuk 35 pegawai yang menerima anugerah pegawai terbaik iaitu 16 (Darat), 11 (Laut) dan lapan (Udara).

Naib Canselor UPSI Prof Md Amin Md Taff memaklumkan, daripada 1,435 Pegawai Kadet Palapes, seramai 810 merupakan pegawai muda di Rejimen Askar Wataniah, 350 di Pasukan Simpanan Sukarela TLDM, dan 275 di Pasukan Simpanan Sukarela TUDM.

Menurut Md Amin, majlis berkenaan merupakan istiadat tahunan yang dianjurkan universiti awam di seluruh Malaysia secara bergilir-gilir.

UPSI pernah menjadi tuan rumah untuk istiadat pentauliahan pada 2014.

Katanya penganjuran majlis pentauliahan hari ini merupakan kali pertama diadakan pameran aset ketenteraan ATM, pameran ikhtiar hidup, demonstrasi anjing perang, dan demonstrasi tempur tanpa senjata.

Kesemua aktiviti itu berlangsung di sekitar kawasan parkir Jabatan Pembangunan Pengurusan Harta Benda berhampiran Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS