Anwar Ibrahim mencabar pembangkang membawa usul undi tidak percaya kepadanya sebagai perdana menteri pada sidang Dewan Rakyat akan datang.
Perkara itu dipercayai diungkapnya sebagai respons selepas Pemuda PAS membuat usul dalam muktamar parti pada minggu lalu supaya Anwar meletakkan jawatan.
Presiden PKR itu turut menempelak gesaan itu sebagai tidak tahu hukum dan peraturan.
“Mahu main-main dengan kita, ada 30 orang (suruh) Anwar turun, negara apa? Sistem apa? Datang ke sini bagitahu suruh Anwar turun.
“Ingat negara dia? Tak ada ikut peraturan tak ada ikut hukum. Nak turunkan sila, saya bagi jaminan. Ada sidang parlimen pertengahan Oktober, bawa usul cepat, kalau lambat pun saya luluskan.
“Bawa usul undi tidak percaya kepada Anwar sebagai perdana menteri, tak payah jerit. Kamu itu turun dulu, banjir pun tak terurus, muka ini juga nak pergi tolong,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap di Himpunan Keadilan ‘Suara Rakyat Suara Keramat: Dari Reformasi ke Malaysia Madani’ di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selangor, malam tadi.
Terdahulu Malaysiakini melaporkan Pemuda PAS dalam muktamar yang diadakan di Temerloh, minggu lalu mendesak Anwar meletakkan jawatannya atau diturunkan dengan kadar segera.
Usul tersebut dibawa dan dibentangkan perwakilan Pemuda PAS Kawasan Tambun, Abdul Abidi Mohd Maznan yang kemudiannya dibahas dan diluluskan dengan sebulat suara.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun menyifatkan pihak pembangkang ketandusan modal untuk menghentamnya.
Malah katanya pembangkang hanya menggunakan hal-hal lampau dan isu dirinya sebagai bekas banduan.
“Hari ini mereka boleh bercerita hal-hal lampau, pembangkang tidak ada modal paling tidak apa mereka kata? Ya bekas banduan jadi perdana menteri.
“Ya saya memang bekas banduan, tetapi banduan terhormat dengan tuduhan zalim dan keji dan dulu bapa-bapa kamu, pemimpin-pemimpin PAS antara yang pertama benteng pertahankan kami dan menolak fitnah itu.
“Sekarang anak-anak mereka yang jahil tentang sejarah yang menjadi perkakas kepada peruah, yang menjadi alat kepada orang-orang yang mencuri harta sekarang mahu jadi jaguh? Malu kamu,” ujarnya dipercayai merujuk kepada dakwaan dilemparkan Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden, baru-baru ini.
Anwar berkata pemimpin termasuk ulama PAS terdahulu antara mereka yang menjadi benteng utama ketika dia difitnah dalam kes liwat sehingga dipenjarakan.
Dia sempat menyebut beberapa tokoh seperti bekas presiden PAS Allahyarham Fadzil Noor, bekas mursyidul am PAS Nik Abdul Aziz Nik Mat dan bekas ahli parlimen Baling Taib Azamudden Md Taib antara tokoh yang mempertahankannya.
“Orang-orang ini yang pertahankan banduan ini, kerana apa? Kerana mereka tahu hukum mereka tahu Islam, mereka tahu apa fitnah, mereka tahu bagaimana sang saka tua zalim dan menindas rakyat.
“Dan mereka tahu bagaimana bilion ringgit perkayakan kelompok-kelompok mereka. Itu pendirian pemimpin-pemimpin lalu termasuk pemimpin PAS.
“Bagaimana pemimpin-pemimpin PAS sekarang? Sokong penyakau, sokong perompak,” tegas Anwar lagi.
Acara himpunan itu diadakan sebagai memperingati tarikh 20 Sept iaitu hari Anwar ditangkap selepas dipecat daripada jawatan timbalan menteri pada 26 tahun lalu.