Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
LFL: Respons Anwar isu OKU dipukul timbulkan lebih banyak persoalan
Diterbitkan:  Sep 20, 2024 9:15 PM
Dikemaskini: 1:15 PM

Lawyers for Liberty (LFL) menuduh Perdana Menteri Anwar Ibrahim mencetuskan spekulasi mengenai dakwaan serangan ke atas seorang pemandu e-hailing yang juga OKU pendengaran oleh polis pengiring.

LFL berkata ini susulan kenyataan Anwar yang tidak serius mengenai isu itu.

"Anwar kelihatan tidak mempunyai jawapan, tetapi hanya mengelak," kata pengarah LFL Zaid Malek.

Dia berkata maklum balas perdana menteri menimbulkan lebih banyak persoalan mengenai kelewatan pendakwaan terhadap pelaku apabila terdapat bukti jelas dalam bentuk rakaman kamera pemuka.

“Adalah fakta yang tidak dapat dinafikan bahawa Ketua Polis Negara telah menyatakan bahawa siasatan telah selesai dan kertas siasatan telah diberikan kepada Jabatan Peguam Negara, pertama pada 5 Jun dan kali kedua pada 27 Julai.

“Semua bukti serangan itu, iaitu video kamera pemuka Ong Ing Keong, juga telah diberikan kepada pihak berkuasa sejak awal siasatan.

“Disebabkan itu, terdapat kebimbangan umum bahawa polis pengiring VVIP yang bertanggungjawab atas serangan itu tidak dibawa ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan jenayah," katanya.

Zaid turut mengecam Anwar kerana meminta orang ramai untuk mengelak daripada membuat spekulasi mengenai perkara itu.

Awal hari ini, Anwar memberitahu pemberita bahawa kes tertentu memakan masa dan menggesa orang ramai supaya tidak membuat kesimpulan sendiri.

Ong diserang pada 28 Mei di luar sebuah hotel di Kuala Lumpur, tempat dia mengambil penumpang, oleh anggota polis yang mengiringi Pemangku Raja Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Pada 5 Sept, mangsa dan LFL menyerahkan memorandum dan rakaman kamera pemuka (dashcam) kejadian itu kepada Pejabat Perdana Menteri meminta suruhanjaya siasatan bebas ditubuhkan.

Pemandu e-hailing Ong Ing Keong

Zaid berkata Anwar gagal memahami bagaimana kegagalan untuk mendakwa memberi kesan kepada keyakinan orang ramai terhadap sistem keadilan jenayah Malaysia.

"Responsnya yang tidak jelas hanya menimbulkan lebih banyak soalan.

“Dalam kes yang melibatkan undang-undang zalim seperti Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia, kes disiasat, didakwa dan dihukum dengan pantas. Kenapa tidak dalam kes Ong?” soalnya,

[Baca laporan asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS