Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bestinet nafi terlibat pengubahan wang haram di Malaysia

Bestinet Sdn Bhd yang menguruskan Sistem Pengurusan Pekerja Asing (FWCMS) hari ini menafikan dakwaan ia terlibat dalam pengubahan wang haram melalui pengasas syarikat itu Aminul Islam Abdul Nor yang didakwa sebagai dalang sindiket kemasukan pekerja asing ke Malaysia.

Ini selepas laporan media antarbangsa berpangkalan Bangladesh mendakwa Aminul, seorang warga Bangladesh yang memiliki kewarganegaraan Malaysia, antara dalang utama sindiket melibatkan RM306 juta membawa masuk pekerja dari negara itu ke Malaysia.

"Bestinet menafikan kewujudan mana-mana sindiket yang kononnya dikawal oleh Aminul atau sesiapa sahaja dalam bidang kuasa kami. Syarikat kami beroperasi secara bebas dan mematuhi sepenuhnya undang-undang berkaitan oleh kerajaan Malaysia dan juga di Bangladesh.

"Aminul tidak terlibat dalam mana-mana bahagian operasi dalam syarikat Bestinet," kata ketua pegawai eksekutif syarikat itu, Ismail Mohd Noor kepada Malaysiakini.

Terdahulu, portal Prothom Alo mendakwa Aminul dan wakilnya di Bangladesh, Mohammad Ruhul Amin yang juga dikenali sebagai ‘Swapon’ didakwa sebagai dua dalang utama membawa masuk pekerja asing dari negara itu ke Malaysia.

Menurut portal tersebut sebanyak Tk 100,000 (RM3,500) diambil sebagai bayaran sindiket daripada setiap pekerja dan melibatkan kira-kira Tk 50 bilion (RM175 juta).

Sementara itu, sindiket visa trade (pemerdagangan visa) pula didakwa melibatkan Tk 37.50 bilion (RM131 juta).

Bagaimanapun, Ismail menafikan dakwaan tersebut dan mengatakan bahawa Bestinet hanya mengutip RM100 untuk setiap permohonan.

"Struktur yuran yang disebut dalam artikel itu adalah tidak betul. Kami dibenarkan oleh kerajaan Malaysia untuk mengutip RM100 setiap permohonan. Itu pun hanya jika pekerja itu lulus dalam proses pemeriksaan keselamatan.

"Jika dia gagal pemeriksaan keselamatan, maka kami akan membayar balik yuran. Kami tidak mengenakan sebarang bayaran sindiket. Hanya kutip amaun yang dibenarkan oleh kerajaan Malaysia," katanya.

Pada 20 Jun, Prothom Alo memetik Swapon menafikan dakwaan pengubahan wang haram.

“Kenapa semua orang mahu memberi saya wang, adakah saya begitu berkuasa? Aminul Islam juga seorang ahli perniagaan. Bagaimanakah ahli perniagaan mempunyai kawalan ke atas pasaran buruh?” katanya,

Dia berkata, semua kelulusan diberikan oleh kerajaan kedua-dua negara dan semua agensi telah memohon kepada Malaysia.

Dia mendakwa agensi yang mempunyai hubungan baik di Malaysia telah mendapat kelulusan.

Dakwaan kawal 100 ejen

Sementara itu, Ismail turut menyangkal bahawa Bestinet terlibat dalam salah laku kewangan.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini FWCMS adalah platform yang sah yang direka bentuk untuk menambah baik proses pengurusan pekerja asing di Malaysia.

"Semua yuran yang kami kenakan adalah sah dan ia disertakan dengan invois. Kami sangat mematuhi peraturan oleh kerajaan Malaysia dan Bangladesh," katanya.

Untuk rekod, Bestinet merupakan sebuah syarikat berorientasikan teknologi maklumat diasaskan oleh Aminul pada tahun 2013.

Aminul kini bertindak sebagai pemegang saham minoriti dalam syarikat itu.

Bestinet kemudian membina sistem FWCMS melibatkan 15 modul pengambilan warga asing daripada 15 negara untuk penggajian di Malaysia sehingga penghantaran pulang.

Dalam sistem ini, kos sistem dibiayai oleh Bestinet dan kerajaan tidak perlu membuat sebarang bayaran.

Bagaimanapun, pengguna sistem dikenakan bayaran.

Namun, sejak kebelakangan ini Bestinet dijadikan sasaran daripada pihak politik dan juga pemain sektor pengambilan pekerja asing mendakwa syarikat tersebut sebagai mengawal pengambilan pekerja asing khususnya di Bangladesh.

Portal Prothom Alo dalam laporan terbaru itu mendakwa Aminul melalui Bestinet mengawal 100 ejen pengambilan Bangladesh (BRA).

Namun, Ismail yang juga pengarah Bestinet menafikan dakwaan itu.

"100 BRA adalah hasil kerjasama kerajaan Malaysia dan kerajaan Bangladesh. Ada MOU (memorandum persefahaman) antara dua kerajaan.

"Kami tidak mempunyai pengaruh terhadap mana-mana keputusan bagi pihak kerajaan. Senarai 100 BRA ini diberikan oleh kerajaan Malaysia kepada kerajaan Bangladesh sebelum mereka mendaftar di bawah sistem FWCMS.

"Kami tidak campur tangan dalam proses ini. Kami hanya bekerjasama dengan apa jua keputusan kerajaan Malaysia dan Bangladesh," katanya.

Untuk rekod, ketika pentadbiran Najib Razak, Menteri Dalam Negeri ketika itu, Ahmad Zahid Hamidi hanya melantik 10 agensi pengambilan pekerja asing daripada lebih 700 agensi yang dicadangkan.

Pada zaman Ismail Sabri Yaakob jumlah agensi dinaikkan kepada 25 dan 250 sub ejen. Kemudian, Menteri Sumber Manusia M Saravanan ketika itu bersetuju meningkat jumlah agensi kepada 100 susulan permintaan daripada kerajaan Bangladesh.

Mengulas lanjut, Ismail turut menyangkal dakwaan Bestinet mempunyai hubungan dengan agensi pengambilan pekerja asing berpangkalan Bangladesh, Catharsis Solutions Limited yang dimiliki oleh Swapon.

"Kami tidak mempunyai sebarang hubungan dengan Catharsis Solutions Limited. Syarikat ini bukan sebahagian 100 BRA," katanya.

Ismail bagaimanapun mengesahkan satu lagi syarikat yang dimiliki Swapon dikenali sebagai Catharsis International adalah salah satu daripada 100 BRA di Malaysia.

"Tapi, bukan kami yang memilih syarikat ini. Ia adalah senarai yang disediakan Kerajaan Malaysia," katanya.

Malaysiakini sudah menghubungi Aminul untuk mendapatkan respons.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS