Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Banjir Kedah: Relawan, NGO hasrat salur bantuan wajib daftar dengan PKOB
Diterbitkan:  Sep 20, 2024 6:24 PM
Dikemaskini: 10:24 AM

Sukarelawan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berhasrat menyampaikan bantuan dan sumbangan barang atau perkhidmatan kepada mangsa banjir di Kedah diwajibkan mendaftar dengan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).

PKOB Negeri Kedah Darul Aman dalam kenyataan dikeluarkan hari ini memaklumkan bahawa pihak berkenaan boleh mendaftar dengan PKOB Daerah terbabit.

“Langkah ini penting untuk memastikan penyelarasan bantuan yang berkesan serta keselamatan dan kebajikan semua pihak terlibat.

“Semua bantuan, sumbangan barang atau perkhidmatan akan diselaraskan melalui PKOB Daerah bagi mengelakkan pertindihan serta memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan,” kata kenyataan itu.

Sukarelawan dan NGO hendaklah menanggung sepenuhnya segala kos dan risiko yang timbul sepanjang pelaksanaan operasi bantuan berkenaan mengikut kenyataan itu.

“PKOB Negeri dan Daerah berhak untuk menghalang serta menghentikan sebarang bantuan dan sumbangan barang atau perkhidmatan disampaikan oleh sukarelawan dan NGO sekiranya gagal mendaftar secara rasmi seperti yang telah ditetapkan.

“Pendaftaran boleh dibuat melalui borang yang disediakan di PKOB Daerah…Kerjasama ini akan membantu memastikan tiada pihak yang ketinggalan dalam menerima bantuan dan sokongan diperlukan,” kata kenyataan itu lagi.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS