Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pertubuhan Kebajikan dan Advokasi Pekak Malaysia (Dawn) menyuarakan kekecewaan dengan kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung kes serangan ke atas pemandu e-hailing OKU.

Setiausaha Agung Dawn, Anthony Chong berkata berbanding menanggapi isu berkenaan kes itu secara terus, Anwar sebaliknya mengelak tanggungjawab.

“Mereka menangguh-nangguhkan agar masyarakat lupa tentang kes ini. Ia secara relatifnya mudah sahaja (straightforward), namun mereka menangguhkannya,” katanya kepada Malaysiakini.

Chong berkata Pejabat Peguam Negara (AGC) belum memaklumkan sebarang perkembangan berhubung kes itu.

“Jika AGC putuskan untuk tidak teruskan (dengan pendakwaan), mereka sepatutnya memaklumkannya kepada kami agar peguam kami boleh ambil tindakan lanjut. 

“Namun belum ada apa-apa setakat ini. Rasa seperti kami sahaja yang membuat bising (tentang kes itu),” katanya lagi.

Anthony Chong

Chong turut mempersoalkan kenyataan polis yang tidak konsisten keengganan mereka untuk meneruskan kes itu.

“Seolah-olah polis mengalihkan tanggungjawab kepada AGC, kemudian AGC hantar semula (kertas siasatan) kepada polis. Selepas itu, tiada kedengaran apa-apa lagi,” katanya.

Hari ini, Anwar ketika ditanya mengenai kes serangan ke atas Ong Ing Keong berkata, ada kes yang memerlukan masa dan menggesa orang ramai agar tidak membuat penilaian terlalu awal.

"Tapi saya nak ingatkan di sini kadang-kadang kita hukum sebelum siasatan atau sebelum keputusan siasatan yang mesti dirujuk kepada AG (peguam negara) yang akhirnya memutuskan,” kata Anwar.

Namun, bagi Chong, tiadanya tindakan daripada pihak berkuasa membangkitkan kecurigaan.

“Kita tak menghakimi apa-apa. Tindakan mereka - atau ketiadaan tindakan daripada mereka - seperti mereka mahu tutup kes ini ‘di bawah karpet’,” katanya sambil menyifatkan Anwar gagal memberikan sebarang penyelesaian yang konkrit.

“Seperti PM juga mengalihkan tanggungjawab kembali kepada AGC atau polis. Dia tak kata apa-apa tentang menyelesaikan isu ini atau melihatnya dengan lebih lanjut,” katanya.

Pada 5 September lalu, Ong dan Lawyers for Liberty (LFL) menyerahkan memorandum dan rakaman insiden kepada Pejabat Perdana Menteri.

Ong Ing Keong

Memorandum itu antara lain menggesa Anwar menubuhkan sebuah jawatankuasa siasatan bebas untuk kes itu.

LFL juga membangkitkan kenyataan polis yang kertas siasatan telah diserahkan kepada pendakwaraya sebanyak dua kali.

Dalam pada itu, Chong mengingatkan jika kerajaan terus mengelak daripada menangani kes tersebut, ia menjejaskan prinsip kesamarataan di bawah undang-undang di Malaysia.

“Nampaknya sistem perundangan dieksploitasi agar memberi kelebihan kepada mereka yang berkedudukan tinggi,” katanya lagi.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS