mk-logo
Berita
Banjir: Zahid minta orang ramai berjaga-jaga
Diterbitkan:  Sep 20, 2024 5:26 PM
Dikemaskini: 9:26 AM

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru orang ramai agar mematuhi arahan pihak berkuasa dan mengambil langkah berjaga-jaga berikutan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara menerusi hantaran di Facebooknya hari ini berkata beliau telah mendengar taklimat ringkas daripada Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Khairul Shahril Idrus mengenai keadaan banjir di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

“Saya difahamkan jumlah mangsa banjir di Kedah meningkat kepada 6,087 orang pagi ini berbanding 4,425 orang malam tadi.

“Sebanyak 1,942 keluarga kini ditempatkan di 36 pusat pemindahan sementara di tujuh daerah. Situasi di Perlis dan Pulau Pinang pula tidak banyak berubah,” katanya yang sebelum itu menghadiri majlis bersama peserta Bengkel Transformasi Ekosistem Halal 2024 di sebuah hotel di ibu negara pagi ini.

Beliau akan turut melancarkan Bulan Kesiapsiagaan Nasional pada Oktober ini sebagai langkah proaktif memperkukuh kesiapsiagaan negara menghadapi bencana alam.

Katanya inisiatif tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran dan persediaan rakyat dalam menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk bencana banjir dan ribut petir yang semakin kerap berlaku.

“Utamakan keselamatan, lindungi diri dan orang tersayang,” kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS