Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah benarkan petisyen penggulungan terhadap MYAirline

Mahkamah Tinggi Shah Alam mengeluarkan perintah penggulungan syarikat kepada MYAirline berhubung hutang yang belum dibayar melebihi RM241,000.

Penggulungan atau likuidasi syarikat adalah proses di mana sebuah syarikat dibubarkan dan asetnya dirampas dan dijual untuk melangsaikan hutang tertunggak.

Mahkamah sivil pada Khamis minggu lalu membenarkan petisyen penggulungan oleh Corporate Information Travel Sdn Bhd terhadap syarikat penerbangan yang bermasalah itu.

Menurut salinan perintah penggulungan, pesuruhjaya kehakiman Raja Rozela Raja Toran memberi kebenaran selepas mendengar hujahan daripada peguam pempetisyen daripada syarikat guaman M Menon & Partners.

Perintah itu menyatakan bahawa MYAirline tidak menghantar mana-mana wakil sah ke perbicaraan minggu lepas walaupun syarikat penerbangan itu telah menerima salinan petisyen itu.

Selain membenarkan petisyen penggulungan mengikut Akta Syarikat 1965, Raja Rozela juga melantik Tee Guan Pian dari UHY Insolvency Services untuk menjadi penyelesai MYAirline Sdn Bhd.

Menurut salinan petisyen itu, Corporate Information Travel sebelum ini memperoleh penghakiman ingkar hadir daripada Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 26 Feb.

Pempetisyen kemudiannya menyampaikan tuntutannya pada MYAirline pada 20 Mac, tetapi 21 hari kemudian syarikat penerbangan itu didakwa mengabaikan untuk membayar jumlah itu.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi MYAirline untuk mendapatkan jawapan berhubung perintah penggulungan mahkamah itu.

Pada Oktober tahun lepas, MYAirline secara tiba-tiba menggantung operasinya, dengan alasan syarikat itu mengalami "tekanan kewangan yang ketara" hampir setahun selepas penerbangan sulungnya.

Selepas itu, Mavcom menggantung Lesen Perkhidmatan Udara MYAirline pada 1 Nov.

Pada 16 Ogos tahun ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan MYAirline membayar lebih RM17 juta caj perkhidmatan lapangan terbang yang tertunggak.

Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong mengeluarkan penghakiman ringkas (keputusan tanpa perbicaraan penuh) untuk syarikat penerbangan itu membayar RM9.1 juta kepada Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd dan RM8.36 juta kepada Malaysia Airports Sdn Bhd.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS